PRN Melaka: Amal Kempen Bersih, Elak Guna Isu Remeh Cetus Polemik – Ahmad Zahid
JASIN, 3 Nov – Semua calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dinasihatkan supaya mengamalkan pendekatan kempen secara baik, bersih dan mematuhi peraturan demokrasi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak tidak seharusnya memperbesarkan perkara remeh atau “titik bengik” sebagai alasan untuk mencetuskan polemik yang tidak sepatutnya.

“Saya harap kita berkempen secara baik dan bersih. Rakyat telah ada pilihan masing-masing, jangan disebabkan perkara-perkara atau titik bengik ini dijadikan alasan.
“Ini sebuah negara demokrasi, kita bertanding ikut peraturan dan kita harap perkara yang tidak perlu ditimbulkan itu dipanjangkan. Yang penting 14 Nov ini kita lihat di mana arah sokongan yang diberikan pengundi-pengundi di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA 2026 Negeri Melaka di sini hari ini, ketika diminta mengulas mengenal laporan polis terhadap calon BN yang didakwa menyalahgunakan fasiliti kerajaan untuk berkempen.
SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov. – BERNAMA
