PRN Melaka: Kombinasi, Kesepakatan Bakal Terjemahkan Kemenangan BN

KOTA MELAKA, 3 Nov – Ketua Wanita UMNO Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencatat kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini berdasarkan perkembangan positif yang dilihatnya sepanjang turun padang bertemu masyarakat.

Beliau berkata, keyakinan itu turut didorong maklum balas penduduk yang menyatakan sokongan terhadap BN serta kepimpinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, terdapat penduduk termasuk daripada parti lain yang menyatakan hasrat untuk melihat BN kembali memperoleh kemenangan dalam PRN kali ini.

“Ada juga mereka yang tak ada parti… atas pagar… mereka cuma menyatakan bahawa hasrat mereka supaya BN pada kali ini mencapai kemenagan,”

Beliau berkata demikian ketika bersama masyarakat setempat menerusi program Duyong Duduk Semeja di Warung Santan, dekat sini.

Program itu turut dihadiri calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Hardyaty Hamzah serta pimpinan setempat.

Rahmahjan seterusnya berkata, persaingan pada PRN kali ini dijangka sengit, namun beliau optimis BN mempunyai peluang cerah untuk meraih kemenangan menerusi kerjasama dan usaha berterusan seluruh jentera parti.

Beliau turut menyeru masyarakat setempat, khususnya pengundi di Duyong, supaya memberikan sokongan kepada Mohd Noor Helmy bagi membolehkan BN memperoleh mandat pada pilihan raya kali ini.

“Bagi saya pada kali ini memang sengit, tapi insya-Allah kemenangan itu akan berpihak kepada BN ,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh jentera dan masyarakat dapat terus berganding bahu bagi memastikan kemenangan BN di DUN Duyong serta membantu parti mencapai keputusan yang lebih baik pada PRN Melaka.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO