Abdul Hakim Sambut Baik Inisiatif Puteri UMNO Bersama Berkempen

LENDU, 3 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid menghargai komitmen Pergerakan Puteri UMNO yang diketuai oleh Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang turun padang membantu kempen menerusi pelbagai program mendekati masyarakat setempat.

Menurut beliau, kehadiran Puteri UMNO di Lendu bukan sahaja membantu mempergiatkan gerak kerja pilihan raya, malah menjadi nilai tambah dalam usaha mendekati golongan wanita dan anak muda.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, exco-exco serta ahli Puteri UMNO yang sentiasa berada di Lendu untuk membantu menerusi pelbagai program yang dilaksanakan.

“Saya melihat ini sebagai satu usaha yang sangat baik dan berharap Pergerakan Puteri UMNO dapat terus hadir ke Lendu beberapa kali lagi sepanjang tempoh kempen ini,” katanya kepada UMNO Online.

Abdul Hakim yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sebarang program bersesuaian yang dirancang Puteri UMNO, khususnya program yang mampu menarik penyertaan golongan anak muda.

“Tiada halangan untuk Pergerakan Puteri UMNO meneruskan pelbagai inisiatif di kawasan berkenaan kerana setiap usaha mendekati rakyat amat penting dalam menyampaikan mesej perjuangan BN.

“Dengan kerjasama erat semua jentera termasuk Puteri UMNO dapat diteruskan sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan BN di DUN Lendu pada PRN Melaka,” ujarnya.

Untuk rekod, BN Melaka mempertaruhkan 21 calon bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 687,697 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi PRN Melaka ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 14 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 9 Nov(Jumaat). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO