Nilai Rekod Pentadbiran BN, Teruskan Kesinambungan – Mohd Ridhwan
MELAKA, 3 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali menegaskan rekod pentadbiran BN di Melaka perlu menjadi antara pertimbangan utama rakyat dalam menentukan kesinambungan kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, rakyat perlu melihat dan membuat perbandingan terhadap pencapaian serta rekod pentadbiran BN ketika menerajui Melaka berbanding tempoh negeri itu ditadbir oleh kerajaan bukan BN.
Menurutnya, usaha mengekalkan pentadbiran BN di Melaka penting bagi memastikan kesinambungan dasar, pembangunan dan gerak kerja yang telah dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Perlunya kita kekalkan pentadbiran BN di Negeri Melaka. Lihat trek rekod pentadbiran di Melaka dan bandingkanlah dengan ketika zaman bukan pentadbiran BN,” katanya.
Beliau berkata, BN juga perlu memastikan segala usaha dan kerja yang dilaksanakan dapat diketahui masyarakat menerusi komunikasi serta penyampaian maklumat yang lebih berkesan, termasuk penggunaan media sosial.
Katanya, dalam suasana politik masa kini, BN tidak boleh hanya bergantung kepada kerja yang dilaksanakan, sebaliknya perlu memastikan rakyat mengetahui perkembangan dan hasil usaha berkenaan.
“Zaman ini kita perlu menunjukkan bahawa BN yang melaksanakan kerja. Bukan untuk menunjuk, tetapi untuk memastikan masyarakat mengetahui kita bekerja dan bergerak. Media sosial juga perlu sentiasa dikemas kini,” katanya.
Mengulas peluang BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Molek, beliau berkata pihaknya menghormati semua calon yang bertanding, namun tetap yakin BN mampu mengekalkan kemenangan di kawasan berkenaan.
“Kita menghormati lawan, tetapi kita yakin BN akan tetap dapat mempertahankan DUN ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan BN kali ini hadir dengan kerjasama strategik bagi memperkukuh kekuatan parti dalam menghadapi pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera dan penyokong BN, khususnya kelompok Geng Biru, agar bersatu hati, keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon BN.
“Kita Geng Biru jangan lupa bulatkan tekad, keluar mengundi dan undilah calon BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam siri podcast Kita Geng Biru anjuran Penerangan UMNO Malaysia menerusi platform Facebook UMNO Online, malam tadi. Turut menjadi panel dalam segmen tersebut ialah calon BN DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood. – UMNO Online
