‘10 Janji Razak’ Ditunaikan, Insya-Allah Komitmen Diteruskan – Tok Ajak

TELOK MAS, 3 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan komitmennya untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat setempat sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka berkata, meskipun kesemua 10 janji yang dibuat ketika menawarkan diri pada pilihan raya 2021 telah dilaksanakan, masih banyak perancangan yang ingin dibawa demi manfaat rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, beliau berhasrat menambah baik pencapaian sedia ada dengan memperkenalkan inisiatif baharu bagi memenuhi keperluan masyarakat Telok Mas.

“Kalau ikutkan kepuasan hati, belum lagi, kerana banyak perkara-perkara yang dalam perancangan saya belum dapat saya laksanakan sepenuhnya.

“Pada 2021, sewaktu saya menawarkan diri dalam pilihan raya di Melaka, saya ada buat janji, iaitu 10 Janji Razak. Alhamdulillah, kesemua 10 janji itu telah saya laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Telok Mas menjelang hari pengundian pada 14 November ini.

Abdul Razak berkata, sokongan padu yang ditunjukkan penyokong BN ketika hari penamaan calon merupakan satu suntikan semangat, namun ia tidak akan menyebabkan beliau dan jentera parti mengambil mudah persaingan yang dihadapi.

Katanya, BN akan terus memperkemas gerak kerja kempen dan memperkukuh jentera bagi memastikan sokongan yang diterima dapat diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian.

“Bila proses pilihan raya ini, kita tak boleh ambil mudah. Kita kena lipat gandakan gerak kerja kita dan perkemaskan jentera.

“Walaupun semalam saya sebut sokongan daripada penyokong-penyokong terhadap Barisan Nasional di luar jangka, tetapi kita bukan ambil perkara itu untuk menentukan kemenangan pada 14 haribulan nanti,” katanya.

Mengulas proses penamaan calon, beliau berkata tiga parti telah mengemukakan calon bagi kerusi DUN N23 Telok Mas, sekali gus memperlihatkan persaingan dalam proses demokrasi pada PRN kali ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong BN yang hadir memberikan sokongan ketika proses penamaan calon berlangsung.

Sehubungan itu, Abdul Razak berharap pengundi Telok Mas terus memberikan kepercayaan kepada BN agar perancangan pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat dapat diteruskan.

“Belum puas saya berkhidmat untuk masyarakat dan juga rakyat di dalam Telok Mas ini. Saya mohon bagilah sokongan kepada saya, insya-Allah saya akan laksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO