BN Kekal Berpadu, Ahmad Zahid Yakin Rakyat Terus Beri Mandat
TANJUNG BIDARA, 31 Okt – Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kelancaran urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selain mengesahkan Barisan Nasional (BN) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjelaskan, daripada jumlah itu, UMNO akan bertanding di 18 kerusi manakala MCA diberikan empat kerusi, dengan penyertaan rakan-rakan parti lain mencerminkan semangat kebersamaan dalam gabungan berkenaan.
“Ini merupakan satu manifestasi kebersamaan. Ramai yang menjangkakan MCA mahu memboikot pilihan raya negeri ini ataupun sekurang-kurangnya merajuk, tetapi perkara itu tidak berlaku.
“Sebaliknya, MCA diberikan empat kerusi dan kita melihat ini sebagai bukti bahawa semangat kerjasama dalam BN terus diperkukuhkan,” katanya kepada media di Dewan Datuk Hj Ab. Karim, Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menjangkakan kempen PRN Melaka berlangsung dalam suasana tenang dan harmoni, selaras dengan hasrat Ab Rauf agar semua pihak mengelakkan kempen berunsur fitnah, kecaman serta taktik tidak sihat.
“Pendekatan berkempen secara matang itu turut mendapat persetujuan Pakatan Harapan (PH) dan berharap semua parti benar-benar menghormati komitmen berkenaan.
“Kita mahu supaya tidak ada kempen fitnah atau kempen dengan pelbagai kaedah yang tidak baik. Saya harap semua pihak dapat melaksanakan perkara yang sama,” katanya lagi.
Tambah beliau, yakin rakyat Melaka akan terus memberikan kepercayaan kepada gabungan itu bagi membolehkan kesinambungan pentadbiran negeri diteruskan.
“BN menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat dan berharap sokongan yang diterjemahkan melalui peti undi kelak membolehkan gabungan itu kembali membentuk kerajaan negeri bersama rakan-rakan strategik.
“Saya sebagai Pengerusi BN mencadangkan supaya Ab Rauf terus menjalankan khidmat sebagai Ketua Menteri Melaka,” ujarnya. – UMNO Online
