UMNO Sabah Lipat Ganda Usaha Demi Kemenangan PRN Melaka

MELAKA, 28 Okt – UMNO Sabah terus melipatgandakan usaha bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal memasuki tempoh berkempen pada Sabtu ini.

Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, bersama Datuk Ibrahim Fadzil selaku Pengerusi Penyelaras Pusat Daerah Mengundi (PDM) Alai merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, serta Mahawa Baba, Ketua Jalinan Rakyat PDM Alai.

Ujarnya, jentera UMNO Sabah akan membantu Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Emas dengan calonnya Datuk Abd. Razak Abd. Rahman bagi mencapai kemenangan besar pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.

“UMNO Sabah akan melipatgandakan usaha dan memperkukuh gerak kerja bagi membantu calon BN, Datuk Abd. Razak Abd. Rahman, mencapai kemenangan besar pada PRN Melaka kali ini.

“Kerjasama erat antara jentera serta penyelarasan gerak kerja yang mantap amat penting bagi memastikan usaha membantu calon BN dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan gerak kerja kempen BN di PDM Alai, termasuk memperkukuh kerjasama antara jentera bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya berjalan lancar dan tersusun.

Menurut Awang Aslee, perbincangan bersama kepimpinan UMNO di Melaka itu menjadi platform untuk menyelaraskan perancangan serta memperkukuh kerjasama dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Musliati Muslimin merangkap Exco Wanita UMNO Malaysia, dan Setiausaha Kerja UMNO Sabah, Hasim Mohd Soon.

Kehadiran kepimpinan UMNO Sabah itu mencerminkan komitmen mereka untuk bersama-sama memperkukuh gerak kerja kempen BN di DUN Teluk Emas menjelang hari pengundian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO