PRN Melaka: Perkukuh Kesatuan, Gandakan Usaha Dekati Rakyat
MASJID TANAH, 28 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyeru seluruh jentera Barisan Nasional (BN) agar terus memperkukuh kesatuan, menggandakan usaha dan komited turun padang mendekati rakyat bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terbela menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Seruan itu dizahirkan beliau selepas menyaksikan sambutan kehadiran gelombang biru memenuhi segenap ruang halaman Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, malam tadi, sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN P.134 Parlimen Masjid Tanah.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Asyraf Wajdi, kesatuan dan komitmen berterusan jentera parti menjadi antara elemen penting dalam memastikan BN terus mendapat kepercayaan rakyat, selain mengekalkan momentum khidmat bakti yang telah dilaksanakan oleh wakil rakyatnya.

“Ayuh seluruh jentera BN terus perkukuhkan kesatuan, gandakan usaha dan sentiasa komited turun padang mendekati rakyat,” katanya.
Beliau turut berharap kelima-lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Masjid Tanah, iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning, terus mendapat tempat di hati rakyat.
Kelima-lima DUN berkenaan diterajui oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang turut memainkan peranan dalam memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.
Asyraf Wajdi menegaskan rekod perkhidmatan cemerlang yang telah dilaksanakan wakil-wakil rakyat BN perlu diteruskan dengan komitmen yang lebih tinggi bagi memastikan mandat rakyat dapat dipertahankan dan kesejahteraan masyarakat terus menjadi keutamaan.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh jentera BN supaya mempergiat gerak kerja di lapangan, mendengar denyut nadi rakyat serta memastikan setiap usaha dan pendekatan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Beliau turut berharap segala ikhtiar dan usaha seluruh jentera parti dipermudahkan, sekali gus membuka ruang kepada BN untuk terus berkhidmat demi masa depan Melaka yang lebih baik.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala penamaan calon pada 31 Okt dan undi awal pada 10 Nov.
PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) (dua kerusi). – UMNO Online
