PRN Melaka: Semangat UMNO/BN Terus Membara
MASJID TANAH, 28 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa semangat UMNO/Barisan Nasional (BN) akan terus membara untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ujarnya, beliau optimis untuk mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Masjid Tanah.

“Pada 14 November nanti, kita akan bekerja dengan lebih kuat untuk Masjid Tanah dan seluruh Negeri Melaka. BN bertanding di kesemua kerusi DUN di Melaka.
“Daripada jumlah itu, lima kerusi terletak di Masjid Tanah. Sebelum ini, kita menang kesemua lima kerusi tersebut. Dengan pelbagai kemajuan yang dibawa oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh… tidak mustahil untuk kita mempertahankan kelima-lima kerusi tersebut. Oleh itu, kita mesti bekerja dengan lebih kuat.
“Kita melihat bahawa semangat seluruh negeri Melaka pada kali ini berbeza berbanding pilihan raya yang lalu. Walaupun terdapat pelbagai permasalahan timbul dan ada pihak yang cuba menyerang kita dari hadapan mahupun belakang… Insya-Allah, semangat UMNO/BN akan terus kuat di Melaka, khususnya di Masjid Tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Masjid Tanah, pada Selasa.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, landskap baharu politik yang berlandaskan konsep tafahum siyasi perlu diterima sebagai satu realiti.
“Hari ini, kita menerima satu realiti politik baharu. Mereka merupakan rakan strategik kita. Walaupun dahulu kita dan mereka mempunyai perbezaan serta pandangan masing-masing, kita perlu melupakan permasalahan lalu dan bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan.
“Mereka menghormati kita dengan memberikan ruang kepada BN untuk bertanding di 21 kerusi DUN. Kita juga menghormati mereka dan bersedia memberikan tujuh kerusi kepada mereka, manakala pengagihan selebihnya akan dirundingkan bersama.
“Inilah landskap politik baharu di Melaka yang perlu kita terima sebagai satu realiti. Maka, tafahum siyasi ialah kesefahaman politik antara kita dengan mereka, antara BN dengan rakan strategik kita, sebagai satu realiti baharu di negeri Melaka, khususnya di Masjid Tanah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan mengusahakan agar Lebuhraya Pantai Barat atau West Coast Expressway (WCE) akan dibina menghubungkan laluan dari Banting ke Masjid Tanah, seterusnya ke Batu Pahat dan Pontian.
“Pada masa ini, lebuh raya tersebut menghubungkan kawasan dari Taiping hingga ke Banting, Selangor. Selepas ini, Insya-Allah, kita akan berusaha untuk menghubungkan laluan tersebut dari Banting ke Masjid Tanah, seterusnya ke Batu Pahat dan Pontian.
“Jika lebuh raya baharu ini dapat direalisasikan, perjalanan dari Masjid Tanah ke Kuala Lumpur akan menjadi jauh lebih mudah dan pantas.
“Perkara ini telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri. Ia bukan sekadar perancangan baharu, sebaliknya telah dibawa ke peringkat perbincangan Jemaah Menteri dan pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan,” katanya lagi. – UMNO Online
