BN Umum Calon PRN Melaka, Ab Rauf Kekal Di Tanjung Bidara
AYER KEROH, 24 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh malam ini mengumumkan 21 senarai nama calon parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 ini.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua Menteri kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Antara nama penyandang yang kekal adalah seperti Datuk Seri Abdul Razak Abdul Rahman di DUN Telok Mas, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Duyong, Datuk Fairul Nizam Roslan (DUN Asahan), Datuk Dr Akmal Saleh (DUN Merlimau) dan Datuk Khaidirah Abu Zahar (DUN Rim).
Manakala Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Rais Yasin yang sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput dinamakan calon BN yang akan bertanding di kerusi Sungai Udang.
Kawasan DUN Lendu yang sebelum ini merupakan kerusi Bekas Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali akan digantikan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Ab Rauf mengumumkan nama-nama calon BN di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN di MITC, di sini.
Hadir sama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan pusat, negeri dan seluruh jentera BN negeri. – UMNO ONLINE
