Laungan ‘Melaka Lerr!’ ‘Kita Geng Biru’ Gegarkan MITC, Meriahkan Pelancaran Jentera BN

MELAKA, 24 Okt – “Mana Lagi… Melaka Lerr!”, “Kita Geng Biru”. Laungan penuh bertenaga itu bergema di segenap ruang Dewan MITC, mencetuskan suasana luar biasa meriah pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dan Pengenalan Calon Barisan Nasional (BN) Melaka, hari ini.

Sorakan demi sorakan bersahut-sahutan, diselang-seli laungan “Kita Geng Biru” dan “BN Sayang Melaka” serta “Hidup BN” yang membangkitkan semangat para penyokong serta pendokong parti yang hadir memenuhi dewan.

Warna biru mendominasi suasana apabila bendera BN dikibarkan beramai-ramai, mencipta pemandangan lautan biru yang diserikan dengan tepukan gemuruh, wajah ceria dan semangat kebersamaan dalam kalangan hadirin.

Dari satu sudut ke satu sudut, kemeriahan jelas terasa apabila para penyokong tidak melepaskan peluang menyertai laungan yang bergema, menjadikan majlis berkenaan bukan sekadar acara pelancaran rasmi, tetapi turut menjadi perhimpunan penuh emosi dan semangat perjuangan.

Laungan ikonik “Mana Lagi… Melaka Lerr!” menjadi antara sorotan utama, dengan sorakan yang bergema memperlihatkan keterujaan penyokong dalam menyambut pelancaran jentera pilihan raya BN negeri itu.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut bersama ialah barisan kepimpinan UMNO dan BN dari peringkat pusat serta negeri yang hadir menyemarakkan majlis berkenaan.

Kehadiran kepimpinan bersama penyokong daripada pelbagai lapisan menjadikan dewan terus dibanjiri warna biru, dengan semangat dan sorakan yang mengiringi perjalanan majlis dari awal hingga ke acara kemuncak.

Lebih daripada sekadar kibaran bendera dan laungan slogan, kemeriahan itu memperlihatkan semangat kebersamaan yang menjadi warna tersendiri dalam perhimpunan keluarga besar BN Melaka.

Dengan lautan biru memenuhi Dewan MITC dan laungan “BN Sayang Melaka” terus bergema, pelancaran itu berlangsung dalam suasana penuh semangat, sekali gus menyuntik motivasi kepada jentera parti untuk menggalas tanggungjawab menghadapi PRN yang dijadualkan pada bulan depan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO