BN Melaka Jadi Tumpuan: Siapa Rakan, Apa Pertimbangan?
SENARIO menjelang PRN Melaka semakin menarik. Persoalan siapa akan bersama Barisan Nasional menjadi bahan perbualan, daripada meja rundingan sehinggalah ke peringkat akar umbi.
Memang ada keresahan menunggu keputusan ini.
Jentera mahu bergerak dengan arah yang jelas. Penyokong pula mahu tahu bagaimana prinsip dan kepentingan parti akan dipertahankan dalam apa-apa kerjasama yang bakal dibentuk.
Keresahan itu wajar didengar. Di akar umbi, hubungan politik bukan sekadar persetujuan di atas kertas. Ada pengalaman, luka dan pengorbanan yang masih diingati.

Sebab itu, keputusan kerjasama perlu disertai penjelasan yang boleh difahami dan diterima oleh mereka yang akan memikul tugas di lapangan.
Namun, dalam keresahan tersebut, saya tetap mempunyai keyakinan terhadap kebijaksanaan YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Saya mengimbau kembali perubahan pentadbiran Melaka selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018. Peralihan seterusnya berlaku pada Mac 2020, apabila Datuk Sulaiman Md Ali daripada BN dilantik sebagai Ketua Menteri menggantikan Adly Zahari.
Sebagai pemimpin wanita Melaka yang melalui dan menyaksikan tempoh tersebut, saya melihat sendiri betapa rumitnya mengurus perubahan kepimpinan. Ia memerlukan kemampuan membaca keadaan, menemukan titik persetujuan dan mengurus pelbagai kepentingan ketika suasana politik sedang bergolak.
Pada penilaian saya, Datuk Seri Ab Rauf, selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka ketika itu, memperlihatkan kecekapan politik yang tinggi dalam membantu mengurus peralihan tersebut.
Kemahiran beliau bukan biasa-biasa.
Apa yang kelihatan lancar pada pandangan luar sering menuntut rundingan dan pertimbangan yang sukar di belakang tabir. Pengalaman itulah yang menjadi asas keyakinan saya hari ini.

Kali ini, kebijaksanaan kepimpinan Melaka sekali lagi akan teruji.
Menentukan rakan politik memerlukan pertimbangan yang melangkaui jumlah kerusi. Keserasian, kejujuran dalam kerjasama dan kemampuan membentuk kerajaan yang stabil juga mesti diambil kira.
BN perlu memilih rakan yang menghormati kekuatannya, memahami tanggungjawab bersama dan sanggup mempertahankan persetujuan selepas pilihan raya. Rakyat pula berhak mengetahui bagaimana kerjasama tersebut akan memberi manfaat kepada negeri.
Saya yakin Datuk Seri Ab Rauf memahami beratnya tanggungjawab ini. Sebagai pemimpin wanita di Melaka, saya mahu keputusan yang dibuat menjaga maruah parti, menghargai pengorbanan jentera dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai ukuran utama.
Sementara menunggu keputusan, kerja wanita menyantuni rakyat mesti diteruskan. Masalah keluarga, keperluan komuniti dan aduan penduduk tetap menuntut perhatian kita setiap hari.
Kita boleh resah dan tetap berfikir dengan tenang.
Kita boleh memberi kepercayaan kepada kepimpinan sambil menyampaikan suara akar umbi dengan jujur.
Saya menanti dengan harapan agar kebijaksanaan yang pernah membantu mengurus perubahan kepimpinan Melaka akan sekali lagi menghasilkan keputusan yang dapat dipertahankan di hadapan rakyat….
Mana lagi…?
Melaka lerrrr…
Kita Geng Biru!

Datuk Haryaty Hamdzah
Ketua Penerangan Wanita UMNO Melaka
