Pasca-PAU 2026: UMNO Melakar Masa Depan Bangsa

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2026 telah melabuhkan tirainya. Kebetulan pula, Hari Malaysia bakal kita sambut pada 16 September 2026. Besar makna Hari Malaysia dalam penubuhan negara yang bernama Malaysia. Namun, selepas pentas diturunkan, bendera dilipat dan para perwakilan pulang ke bahagian masing-masing, persoalan yang lebih besar sebenarnya baru bermula.

Ke mana UMNO selepas PAU 2026? Adakah PAU kali ini sekadar perhimpunan tahunan yang penuh dengan ucapan, resolusi dan laungan semangat? Atau adakah ia menjadi titik tolak kepada kebangkitan politik yang lebih tersusun menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)?

80 tahun UMNO meniti sejarah bangsa, mengharungi pasang surut perjuangan dan menghimpunkan kekuatan yang berselerak. Namun sejarah juga mengajar bahawa tiada parti yang berhak menganggap kuasa sebagai milik kekal.

Ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada PAU 2026 bukan sekadar retorik tahunan. Ia menjadi kompas kepada gerak kerja parti dalam mendepani PRU16.

Adakah UMNO sudah bersedia menjadi government in waiting?

Jawapannya bukan sekadar pada keyakinan pemimpin atau jumlah kehadiran program. Jawapannya terletak pada kepercayaan rakyat. Kepercayaan tidak boleh diminta. Ia mesti dibina.

Kita pernah berdiri gah sebagai kerajaan dengan majoriti dua pertiga. Kita juga pernah tersungkur pada 2018. PRU14 menjadi titik paling pahit apabila BN tewas selepas lebih enam dekad menerajui kerajaan Persekutuan. PH memperoleh 113 daripada 222 kerusi Parlimen, manakala BN hanya memperoleh 79 kerusi. UMNO sendiri memenangi 54 kerusi.

Ia bukan sekadar kekalahan pilihan raya. Ia adalah wake-up call. Rakyat mengingatkan bahawa kuasa bukan hak milik mana-mana parti. Sejarah panjang tidak menjamin undi hari esok. Jasa masa lalu juga tidak memberikan tiket untuk terus memerintah.

Selepas 2018, UMNO tidak mempunyai banyak pilihan selain bangkit. Bukan dengan nostalgia, tetapi dengan memahami mengapa rakyat pernah berpaling. Kebangkitan itu tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia melalui pilihan raya kecil, pilihan raya negeri, kerja akar umbi, perubahan strategi dan usaha membina semula hubungan dengan rakyat.

PRU15 pada 2022 pula memberikan satu lagi ujian apabila BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen. Tetapi kita perlu membezakan antara kalah dan berakhir.

BN kalah. UMNO diuji. Tetapi perjuangan tidak berakhir.
Politik adalah maraton, bukan larian 100 meter.

Hari ini, UMNO masih mempunyai jaringan akar umbi, struktur organisasi dan pengalaman pemerintahan. Usaha merapatkan semula kelompok yang pernah menjauh serta mendekati pengundi muda dan masyarakat bandar juga menjadi sebahagian daripada usaha membina semula kepercayaan.

Penubuhan Rumah Bangsa dan usaha menarik kembali ahli serta kelompok yang pernah menjauh menunjukkan bahawa UMNO mahu membina semula kekuatan atas asas yang lebih luas. Pendaftaran lebih 40,000 ahli baharu yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr Ashraf Wajdi Dusuki, turut menjadi perkembangan positif buat parti.

Sebab itu, antara mesej penting PAU 2026 ialah TEKAD16.

TEKAD16 bukan sekadar permainan angka, tetapi kerangka kesiapsiagaan melalui lima ikhtiar utama:

T — Teguhkan Parti.
UMNO perlu mengukuhkan rumah sendiri. Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam parti besar, tetapi perbezaan tidak boleh menjadi perpecahan. Jentera perlu diperkuatkan, cawangan dihidupkan, bahagian diperkasakan dan pemimpin turun ke bawah.

E — Eratkan Saf.
PRU16 bukan pertandingan seorang diri. Jika BN mahu menjadi kekuatan nasional, hubungan antara komponen mesti lebih daripada kerjasama pilihan raya. Kita boleh berbeza warna, tetapi apabila berdepan rakyat, kita mesti bergerak sebagai satu pasukan.

K — Kuasai Medan.
Medan politik hari ini bukan lagi sekadar dewan ceramah dan rumah ke rumah. Medannya ialah TikTok, Facebook, Instagram, YouTube, WhatsApp, data dan PDM. Menguasai media sosial bukan sekadar menghasilkan poster dan video, tetapi memahami serta membentuk naratif berdasarkan keresahan dan harapan rakyat.

A — Anjakan Strategi.
Formula yang sama tidak boleh digunakan di semua tempat. Realiti Johor berbeza dengan Negeri Sembilan. Felda berbeza dengan kawasan bandar. Pengundi muda pula mempunyai keutamaan yang berbeza. Strategi mesti berasaskan realiti, data dan sentimen setempat.

D — Dekati Rakyat.
Inilah ukuran paling penting. Rakyat mahu pemimpin yang hadir bukan hanya ketika pilihan raya. Kos sara hidup, pekerjaan, rumah, pendidikan, kesihatan dan masa depan anak-anak ialah perkara yang mereka fikirkan setiap hari.
Jangan datang kepada rakyat hanya untuk meminta undi. Datanglah sehingga rakyat mempunyai sebab untuk memberikan undi.

Itulah roh TEKAD16.

Selain itu, Malaysia BIRU membawa pendekatan membina semula hubungan UMNO dengan rakyat: Bina Hubungan, Ikat Pengundi, Rampas Hati dan Ubah Persepsi.

Hubungan mesti dibina sepanjang masa, bukan tiga bulan sebelum pilihan raya. Kepercayaan pula perlu lahir daripada khidmat, penyelesaian masalah dan kehadiran pemimpin di lapangan. Persepsi terhadap UMNO juga perlu diubah melalui rekod perkhidmatan, keberanian mengakui kelemahan dan tawaran penyelesaian yang difahami rakyat.

PAU 2026 juga berlangsung menjelang Hari Malaysia. Ini mengingatkan kita bahawa Malaysia dibina bersama oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak tidak boleh dilihat sekadar pelengkap politik Semenanjung. Kedudukan kedua-dua wilayah ini menjadikan hubungan dengan Sabah dan Sarawak penting dalam pembentukan kerajaan Persekutuan selepas PRU16.

Jika UMNO-BN mahu tampil sebagai government in waiting, pendekatannya mesti benar-benar nasional — bukan sekadar kuat di Semenanjung, tetapi mampu membina kepercayaan dan kerjasama dengan seluruh Malaysia.

Akhir kata, PRU16 bukan sekadar sebuah pilihan raya. Ia adalah medan untuk rakyat menentukan arah masa depan Malaysia.

UMNO-BN harus tampil sebagai sebuah pasukan yang bukan sekadar menunggu untuk memerintah, tetapi telah bersedia untuk bekerja, berkhidmat dan memimpin.

Kita pernah kehilangan kuasa pada 2018. Kita pernah diuji dan dipaksa untuk bermuhasabah. Namun UMNO tidak mati. Kita bangkit, memperbaiki kelemahan dan mendekati semula rakyat.

Kini, masanya untuk melangkah dengan lebih yakin.

Daripada perjuangan semalam, kita bina kekuatan hari ini. Daripada kekuatan hari ini, kita lakar masa depan Malaysia.

UMNO bukan sekadar mahu kembali berkuasa. UMNO mahu kembali memimpin.

Insya-Allah, UMNO-BN adalah Government in Waiting.
Kepada Allah SWT kita berserah.
Selamat Menyambut Hari Malaysia.


Salam perjuangan.

Dr Aiman Ja’apar
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Taman Kamariah
AJK UMNO Bahagian Gombak

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO