Kerajaan Perkukuh Ekosistem Industri Halal, Perluas Akses Pasaran

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kerajaan terus memperkukuh ekosistem industri halal negara bagi memastikan sektor berkenaan kekal sebagai antara pemacu strategik pertumbuhan ekonomi, selain membuka lebih banyak peluang pelaburan dan akses ke pasaran global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu antara tumpuan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal yang diadakan semalam.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, mesyuarat berkenaan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh tadbir urus industri halal, meningkatkan pelaburan serta memperluas akses pasaran.

Katanya, aspek pemudahcaraan proses pensijilan halal turut diberi perhatian, khususnya bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Industri halal merupakan antara sektor strategik yang mempunyai potensi besar untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, memperluas peluang pelaburan dan membuka akses pasaran yang lebih luas,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata Malaysia terus memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa menerusi platform Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026.

Usaha itu termasuk mengangkat cadangan penubuhan ASEAN Halal Council serta memperluas kerjasama strategik dalam pembangunan industri halal di peringkat global.

Beliau berkata, langkah berterusan berkenaan penting bagi memastikan industri halal negara berkembang secara berdaya saing, berintegriti dan mampan.

“Insya-Allah, usaha berterusan ini akan memperkukuh ekosistem industri halal negara dan memastikan Malaysia kekal sebagai Hab Halal Global yang berdaya saing, berintegriti dan mampan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO