Fairuz Tempelak Mahfuz: Cermin Diri Sebelum Campur Urusan UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaluddin menempelak kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan Amanah yang seharusnya bermuhasabah dan mencermin diri terlebih dahulu sebelum cuba menjadi mandur yang mencatur masa depan politik parti lain.

Tegasnya, daripada sibuk mencampuri urusan UMNO, adalah lebih baik mereka melakukan bedah siasat terhadap parti sendiri.

Jelasnya, persoalan yang lebih kritikal untuk dijawab adalah mengapa gagasan mereka masih gagal menambat sokongan dan keyakinan majoriti orang Melayu.

“Persepsi awam melihat mereka lebih selesa menjadi pahlawan pertahanan kepada parti lain di dalam kerajaan berbanding membina naratif dan kekuatan politik yang mandiri.

“Kestabilan negara pada ketika ini menuntut kedewasaan dan kematangan berpolitik, bukannya provokasi populis yang dilemparkan demi meraih publisiti murahan. UMNO dan barisan kepimpinannya akan sentiasa berpegang teguh kepada komitmen membina kestabilan negara tanpa menggadai suara akar umbi.

“Pihak yang lantang mencabar itu dinasihatkan supaya memfokuskan tenaga untuk berkhidmat kepada negara dan membaiki kelemahan di halaman sendiri, bukannya menangguk di air keruh mencari musuh di dalam selimut,” katanya.

Mengulas lanjut, Fairuz yang juga Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Ledang menegaskan bahawa UMNO bukan penumpang dalam Kerajaan Perpaduan tapi UMNO adalah “stakeholder”.

“UMNO merupakan pemegang taruh utama (stakeholder) yang membolehkan kerajaan ini berdiri teguh, bukannya entiti menumpang yang boleh dihalau sesuka hati oleh mana-mana pihak.

“Berada di dalam blok kerajaan juga tidak bermaksud UMNO telah menyerahkan prinsip, maruah atau menjadi sekadar pengikut yang sedia bersetuju dalam semua perkara.

“Apabila UMNO bersuara menegur dasar-dasar tertentu yang tidak memihak kepada rakyat, ia bukanlah tanda pemberontakan, sebaliknya ia adalah fungsi semak dan imbang dari dalam,” katanya lagi.

Tambah Fairuz, kawan yang jujur akan menegur untuk menyelamatkan kapal daripada karam, bukannya sekadar mengangguk membuta tuli.

“Teguran inilah yang sering kali menjadi benteng menyelamatkan kerajaan daripada terus melakukan kesilapan. Jika teguran rasional UMNO dianggap sebagai duri dalam daging yang mengganggu keharmonian pentadbiran, penyelesaiannya amat mudah.

“Tidak perlu berdolak-dalik atau melaungkan cabaran mendesak UMNO supaya keluar. Kerajaan berhak untuk memecat UMNO dan BN secara rasmi. Pada detik itu, realiti akan membuktikan sama ada kerajaan masih mempunyai angka yang cukup untuk berdiri kukuh atau terpaksa pula melutut menagih simpati blok pembangkang.

“Amat tidak wajar untuk menganggap UMNO sebagai rakan penting hanya ketika terdesak memerlukan angka, namun dilayan seperti seteru apabila lantang menyuarakan hak rakyat,” jelasnya lagi.

Persoalannya, sejak bilakah wujudnya hierarki ‘tuan rumah’ dan ‘penumpang’ dalam pentadbiran ini?

Hakikatnya, kerajaan hari ini tidak akan terbentuk tanpa keputusan strategik dan ketegasan kepimpinan UMNO membawa blok BN bagi melengkapkan angka majoriti mutlak.

Untuk rekod, UMNO menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan atas dasar menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) demi menamatkan kemelut politik dan menstabilkan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO