Agenda Malaysia Biru Dekat Dengan Kepentingan Rakyat – Bastien Onn
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Agenda Malaysia Biru yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memberi penekanan terhadap soal kedaulatan negara yang disifatkannya sebagai perkara penting dan dekat dengan kepentingan rakyat Malaysia, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn.
Katanya, agenda berkenaan turut merangkumi aspek inovasi, peluang pekerjaan dan pembangunan anak muda, selain memastikan negara bersedia mendepani perubahan teknologi baharu.
“Saya melihat bahawa pada kali ini Agenda Malaysia Biru harus disemarakkan, bukan sahaja di Johor dan Negeri Sembilan, tetapi kita perlu membawa agenda ini kepada masyarakat di Melaka dan seterusnya ke seluruh negara.
“DNA UMNO adalah DNA memimpin negeri dan seterusnya negara. Apabila penyatuan dan agenda negara ini dapat disatukan, Insya-Allah… dengan izin Allah SWT, ada rezeki pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk kita mentadbir negara,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut Bastien berkata, usaha membentuk kerajaan bersama Pas perlu dilaksanakan menerusi pendekatan terbaik, bermaruah dan penuh hikmah tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain.

“UMNO dan Pas masing-masing mempunyai kekuatan serta pandangan tersendiri, termasuk Pas yang kini menerajui empat negeri di utara Semenanjung. Bagaimana kebijaksanaan dan hikmah kita melakukan perundingan dengan Pas dan memastikan perundingan ini berjaya.
“Sekiranya berjaya kita dapat membentuk kerajaan bersama-sama tanpa mengetepikan kaum lain,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, sebarang bentuk kerjasama politik perlu berteraskan prinsip keadilan dan tanggungjawab kepada semua rakyat, selaras dengan tuntutan Islam yang mengajar golongan yang mempunyai kekuatan untuk membantu serta membela golongan yang lemah.
“Pendekatan tersebut sewajarnya menjadi hasrat UMNO dan Pas sekiranya kedua-dua parti mahu meneroka bentuk kerjasama demi kestabilan serta masa depan negara.
“Sebagaimana Islam mengajar kita, kaum yang kuat harus membantu kaum yang lemah. Itu yang menjadi hasrat UMNO dan Pas dalam membentuk kerjasama,” ujarnya. – UMNO Online
