Daripada Minat, Menjadi Amanah
Alhamdulillah... baru-baru ini saya menerima Anugerah Khas Penerangan, satu pengiktirafan yang cukup bermakna dalam perjalanan politik dan perjuangan saya.
Saya antara 10 orang lain yang menerima Anugerah ini. Terima kasih YB Dato Seri Azalina Othman Said, Ketua Penerangan UMNO Malaysia atas pengiktirafan ini.
Minat saya terhadap media dan kreativiti sebenarnya bermula sejak di bangku sekolah menengah, kemudian terus berkembang ketika melanjutkan pengajian di Multimedia University (MMU), sehinggalah saya melangkah ke dunia politik.
Saya percaya media bukan sekadar tempat untuk berkongsi gambar, mencipta poster atau mengejar perhatian.
Jika digunakan dengan ilmu, kreativiti dan tanggungjawab, media mampu menyampaikan dasar, mendidik masyarakat, membina keyakinan serta menjadi jambatan antara pemimpin dengan rakyat.
Sejak awal penubuhan Puteri UMNO, saya telah diberikan amanah sebagai Ketua Penerangan Puteri UMNO.
Perjalanan itu kemudiannya membawa saya menjadi Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia.
Hari ini, setelah berada dalam saf Wanita UMNO, saya masih diberikan amanah dalam bidang penerangan.
Rupanya, di sinilah jalan perjuangan saya terus berakar.
Bagi saya, kerja penerangan itu seperti berdakwah.
Kita menyampaikan perkara yang benar, memperbetulkan salah faham dan membawa mesej yang memberi manfaat.
Namun, ia mesti dilakukan dengan hikmah dan bukan sekadar lantang, tetapi tepat; bukan sekadar pantas, bukan hanya mahu didengar, tetapi mahu difahami.
Dalam dunia media yang semakin pantas, penuh persepsi dan kadangkala sarat dengan fitnah, tugas penerangan menjadi semakin mencabar.
Kita bukan sahaja perlu kreatif, malah mesti berani, berintegriti dan bijaksana dalam memilih kata-kata.
Anugerah ini bukanlah tanda bahawa perjalanan saya telah sempurna.
Sebaliknya, ia menjadi peringatan bahawa amanah ini perlu terus dilaksanakan dengan lebih baik.
Saya juga ingat pesanan hakim dalam kes saya baru-baru ini, penulisan saya boleh jadi kekuatan dan boleh jadi kelemahan, hati-hati menggunakannya!
Saya sentiasa yakin, penulisan itu lebih tajam dari mata pedang.
Terima kasih kepada semua yang pernah mengajar, membimbing, mempercayai dan memberikan ruang kepada saya sepanjang perjalanan ini.
Pengiktirafan ini saya kongsikan bersama seluruh pasukan penerangan dan sahabat seperjuangan yang sentiasa bekerja di hadapan mahupun di belakang tabir.
Insya-Allah, saya akan terus menggunakan media sebagai medan menyampaikan kebenaran, menyuarakan kepentingan rakyat dan memberikan manfaat kepada masyarakat.
Penerangan bukan sekadar kerja menyampaikan.
Penerangan ialah amanah untuk menerangkan, meyakinkan dan menggerakkan.

Datuk Haryaty Hamdzah
Ketua Penerangan Wanita UMNO Melaka
Penerima Anugerah Khas Penerangan 2026
