Presiden Beri Mandat Pemuda UMNO Gerakkan Himpunan Perpaduan Ummah
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan mandat kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh untuk menggerakkan usaha mengadakan Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam.
Menurut beiau Akmal perlu bekerjasama dengan Pas bagi memastikan gerakan tersebut dilaksanakan secara tersusun dan berterusan.
“Akmal, abang berikan mandat dan kerjasama elok-elok dengan mereka (Pas). Gerakkan roadshow ke negeri-negeri sebelum kemuncak melalui himpunan besar-besaran di peringkat pusat,” katanya katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Ahmad Zahid berkata, usaha tersebut perlu digerakkan secara tersusun dan berterusan menerusi program serta jelajah di setiap negeri sebelum diadakan himpunan besar-besaran di peringkat pusat.
“Insya-Allah, kita terbuka untuk mengadakan tafaqum siasi dengan mereka. Saya mohon persetujuan untuk memberikan mandat kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk menggerakkan usaha ini. Kita adakan ‘roadshow’ dari negeri ke negeri sebelum kemuncaknya melalui himpunan besar-besaran di peringkat pusat dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam,” tambahnya.
Tambahnya, seluruh jentera Pemuda UMNO di peringkat negeri dan bahagian perlu memberikan sokongan penuh, dengan dokongan Wanita dan Puteri UMNO bagi memastikan gerakan tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Saya minta seluruh jentera Pemuda, Pemuda bahagian dan negeri-negeri, dengan dokongan Wanita dan Puteri, memberikan sokongan penuh kepada himpunan di peringkat negeri,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama berkenaan juga boleh menjadi ruang untuk menguji kesetiaan dan kejujuran pihak yang mahu bersama UMNO dalam agenda perpaduan ummah.
Beliau berkata, langkah awal akan memberi tumpuan kepada beberapa negeri termasuk Terengganu, Kelantan dan Kedah sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.
“Seperti yang dicadangkan Tok Mat, kita uji dahulu kesetiaan dan kejujuran mereka. Kita mulakan di Terengganu, Kelantan dan Kedah,” katanya. – UMNO Online
