Malaysia Biru Lambang Tawaran Baharu UMNO/BN
Amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa satu mesej yang sangat jelas dan penuh keyakinan bahawa parti tidak boleh sekadar mengenang zaman kegemilangan, tetapi mesti bangkit dengan kekuatan baharu, gagasan yang lebih besar dan keberanian untuk menentukan masa depan negara.
Presiden UMNO memperlihatkan bahawa perjuangan parti bukan sekadar tentang mendapatkan kuasa, tetapi tentang mendapatkan kembali kepercayaan rakyat untuk memimpin negara. Kepercayaan itu tidak datang secara percuma tetapi ia mesti dibina dengan kepimpinan yang diyakini, dasar yang jelas, organisasi yang kukuh serta keberanian untuk menawarkan penyelesaian terhadap masalah sebenar rakyat.
Gagasan Malaysia Biru yang diketengahkan Presiden UMNO sebagai satu gambaran bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu tampil dengan tawaran yang lebih besar daripada politik kepartian kerana sebuah negara yang berdaulat dan bersatu, ekonominya kukuh dan inovatif, rakyatnya makmur serta negara yang dihormati di persada dunia. Inilah pendekatan yang perlu kita bawa ke akar umbi.
Rakyat mahu melihat apa yang boleh kita lakukan untuk mereka. Mereka berdepan tekanan kos sara hidup, persaingan pekerjaan, perubahan ekonomi dan kebimbangan terhadap masa depan keluarga. Maka UMNO mesti menjadi parti yang hadir bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi ketika rakyat memerlukan pembelaan, ketika mereka menghadapi kesukaran dan ketika mereka mencari arah.
Kita mesti menjadi parti yang mendengar sebelum bercakap, bekerja sebelum berjanji dan membuktikan sebelum meminta rakyat percaya. Dalam masa yang sama, isu generasi muda tidak boleh kita letakkan sebagai perkara sampingan.
Kita harus mengakui bahawa sebahagian anak muda hari ini mungkin tidak begitu mengenali sejarah UMNO dan tidak memahami sepenuhnya perjuangan generasi terdahulu yang membentuk perjalanan bangsa dan negara. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana itu. Sebaliknya, kita harus bertanya kepada diri sendiri, adakah kita menyampaikan sejarah dan perjuangan itu dengan cara yang mampu difahami oleh generasi hari ini?
Sejarah UMNO mesti diwariskan, tetapi ia mesti diwariskan bersama makna dan tanggungjawab. Kita menghormati sejarah, tetapi kita tidak boleh hidup dalam sejarah.
Generasi terdahulu membina negara dengan perjuangan mereka. Generasi hari ini pula berdepan cabaran yang berbeza. Anak muda mahu pekerjaan, pendidikan yang berkualiti, peluang memiliki kediaman, ekonomi yang lebih baik dan masa depan yang memberikan mereka keyakinan.
Maka tugas kita bukan sekadar memberitahu mereka apa yang UMNO telah lakukan. Tugas kita ialah membuktikan apa yang parti mampu lakukan untuk masa depan mereka.
Anak muda bukan sekadar pewaris undi. Mereka adalah pewaris kepimpinan, pewaris negara dan bakal mencorakkan masa depan negara untuk beberapa dekad akan datang. Sebab itu mereka mesti diberi ruang yang sebenar seperti ruang untuk bersuara, memimpin, mencetuskan idea dan menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan.
Sebagai Ketua Bahagian, saya melihat amanat Presiden UMNO sebagai satu panggilan untuk memperkemaskan barisan. Kita mesti kembali kepada akar umbi, memperkukuhkan organisasi, menyatukan kekuatan dan memastikan setiap jentera parti memahami tugas serta tanggungjawab masing-masing.
Kita tidak boleh berpecah kerana perbezaan kecil sehingga melupakan matlamat yang lebih besar. Kemenangan tidak akan lahir daripada kekuatan seorang individu. Kemenangan lahir apabila seluruh kekuatan parti bergerak dengan satu fikiran, satu disiplin dan satu tujuan.
Pada masa yang sama, akar umbi mesti matang dalam berpolitik. Gagasan persefahaman dan ‘Tafahum Siyasi’ menunjukkan bahawa kekuatan politik juga memerlukan kebijaksanaan untuk mencari titik temu demi kestabilan negara. Politik tidak seharusnya hanya tentang siapa menang dan siapa kalah; akhirnya yang mesti menang ialah rakyat dan Malaysia.
Saya percaya UMNO masih mempunyai kekuatan, pengalaman dan akar yang kukuh untuk memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan negara. Tetapi sejarah sahaja tidak cukup. Kita tidak boleh meminta rakyat memberikan keyakinan hanya kerana jasa masa lalu tapi mesti mencipta keyakinan baharu melalui prestasi hari ini.
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 benar-benar menjadi medan penentuan maka masa untuk bersedia bukan esok dan bukan selepas pembubaran Parlimen tetapi masa sekarang untuk terus bekerja.
Akhirnya… saya melihat amanat ini bukan sekadar amanat untuk UMNO, tetapi amanat untuk seluruh barisan perjuangan di semua peringkat.
Kita mesti keluar daripada budaya selesa. Kita mesti turun kepada rakyat. Kita mesti mendengar, bekerja dan menyelesaikan masalah. UMNO tidak boleh hanya menjadi parti yang mempunyai sejarah besar. UMNO mesti menjadi parti yang mempunyai masa depan yang besar.
Kita tidak hanya mahu mempertahankan legasi. Kita mahu meneruskan perjuangan, memperbaharui keyakinan rakyat dan membina legasi baharu untuk generasi akan datang. Kalau generasi terdahulu berani membina Malaysia pada zamannya, maka menjadi tanggungjawab kita untuk berani menentukan Malaysia yang akan diwarisi oleh anak-anak kita.
Sejarah adalah akar kita. Perpaduan adalah kekuatan kita. Pembaharuan adalah keberanian kita dan rakyat adalah amanah kita.

Ketua UMNO Bahagian Bakri
Datuk Azman Ismail
