Formula Agenda BIRU, Ikat Rakyat Melalui Khidmat – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mencadangkan empat pendekatan BIRU bagi memperkukuh Agenda Malaysia Biru agar dapat diterjemahkan kepada gerak kerja berkesan hingga ke akar umbi.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata pendekatan pertama ialah bina hubungan dengan rakyat bukan hanya ketika pilihan raya, sebaliknya secara berterusan.

“Kita bina hubungan dengan rakyat, bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi sepanjang masa. Sekarang ini bukan kita tak bina hubungan, tetapi tidak menyeluruh.

“Untuk itu kita wajib dekati anak muda, golongan profesional, usahawan, petani, pekerja, wanita dan masyarakat akar umbi,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Pendekatan kedua, katanya ialah ikat pengundi melalui khidmat, kepercayaan dan usaha membantu menyelesaikan masalah rakyat, bukan sekadar meminta undi.

“Kalau Jalinan Rakyat tulis putih, kita ikat atau kepung mereka hingga hari mengundi. Kita ikat pengundi melalui khidmat, kepercayaan dan membantu masalah.

“Jangan hanya meminta undi, kita mesti memberikan sebab untuk rakyat terus percaya kepada UMNO,” ujar beliau.

Seterusnya, rampas hati yang menurut beliau perlu dilaksanakan menerusi kerja nyata, bahasa yang dekat dengan rakyat serta kepimpinan yang memahami denyut nadi mereka.

“Rakyat tidak hanya mahu mendengar apa yang kita katakan, mereka mahu melihat apa yang kita lakukan untuk mereka.

“Fokus kepada yang atas pagar, pengundi muda, pengundi FELDA yang telah mulai menjauh,” katanya.

Pendekatan keempat pula kata beliau ialah ubah persepsi, dengan UMNO perlu berani menentukan naratif sendiri berkaitan perjuangan, pencapaian dan tawaran masa depan parti kepada rakyat.

“Kita sendiri mesti membawa naratif perjuangan, pencapaian dan tawaran masa depan UMNO kepada rakyat. Tunjukkan rekod perkhidmatan kita,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO