Bina Kekuatan Sendiri, Jangan Harap Ehsan Parti Lain – Tokmat Hasan
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru seluruh pejuang UMNO untuk membina kekuatan tanpa mengharapkan ehsan parti lain.
Ujarnya, kekuatan dalaman perlu dibina seutuhnya agar ia menjadi benteng untuk mengharungi apa jua rintangan mendatang.

“Tidak ada sesiapa pun yang mahu melihat UMNO bangkit semula. Berbohonglah saya jika saya katakan ada parti lain yang mahu membimbing untuk kita bangkit dan bangun semula. Jangan bermimpi di siang hari kerana tidak ada satu mata atau hati pun yang mahu melihat kita bangkit semula. Semuanya mahu melihat kita dibenamkan ataupun ditalkinkan.
“Dahulu, sudah banyak yang mahu talkinkan kita. Tetapi yang mahu talkinkan kita dahulu, nampaknya mentalkinkan diri mereka sendiri. Hancur dan bergaduh. Alhamdulillah, UMNO tetap ada pada hari ini.
“Apa yang saya mahu beritahu ialah jangan harapkan ehsan orang. Binalah kekuatan sendiri. Jangan kita harapkan pertolongan, simpati orang atau parti lain. Binalah kekuatan dalaman kerana itu akan menjadi benteng untuk kita mengharungi apa jua rintangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di sesi penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, sebentar tadi.
Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar Negeri berkata, konsep tafahum siyasi perlu mempunyai batasan.
“Apabila kita kuat orang tidak boleh memperkotak-katikkan kita. Ada orang yang cuba mengambil peluang, menganggap kita lemah dan mengambil kesempatan untuk bersama-sama kita. Tetapi percayalah, kita pernah berpengalaman dikecewakan. Jadi, jangan kita kecewa banyak kali.
“Walaupun ada konsep yang disebut oleh Presiden, iaitu tafahum siyasi ataupun persefahaman. Cukuplah setakat persefahaman. Jangan kita terbawa-bawa sehingga kita lupa bahawa membina kekuatan sendiri itu adalah perkara yang utama.
“Jadi, saudara-saudari sekalian, balik ke kawasan masing-masing dan mulakanlah gerak kerja menyusun jentera kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa permuafakatan yang ingin dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menjulang tinggi maruah parti.
“PRN Melaka tidak lama lagi. Pakat elok-elok. Muafakat biar bulat dengan pemikiran yang bersatu. Apabila kita berunding, jangan berselisih. Kalau tidak betul, jangan kompromi. Kita ada maruah. Jangan gadaikan maruah kita demi mendapat tempat.
“UMNO tidak pernah mengharapkan ehsan orang. UMNO tidak ditubuhkan kerana ehsan orang. UMNO ditubuhkan kerana kita mahu membela orang Melayu, agama dan tanah air kita.
“Jadi, pesan saya ini bukan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sahaja… tetapi juga kepada rakan-rakan yang lain. Jangan sekali-kali mengharapkan ehsan orang.
“Insya-Allah, kami akan turun ramai-ramai. Marilah kita bantu rakan seperjuangan kita di Melaka kelak,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
