Jangan Jadikan Badan Penguatkuasa Senjata Politik… Ini Antara ‘Penyakit’ Negara
KUALA LUMPUR, 13 Sept – UMNO Negeri Kedah melihat negara ketika ini berhadapan ‘penyakit’ yang perlu diberi perhatian serius, khususnya membabitkan penyalahgunaan institusi, kegagalan membela rakyat, prestasi menteri yang lemah, serta tindakan dan pendirian Dap dalam Kerajaan Perpaduan.
Pembahas dari Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata ‘penyakit’ pertama ialah kecenderungan menggunakan institusi serta badan penguatkuasaan kerajaan bagi memberi tekanan kepada lawan politik, termasuk tindakan membuka semula isu-isu lama yang sebelum ini telah melalui proses undang-undang.

“Orang yang sama dahulu bercakap bahawa beliau dizalimi, ditekan dan dikhianati. Tetapi hari ini, badan penguatkuasaan pula digunakan untuk menekan lawan politik.
“Inilah politik intimidasi, politik ‘harassment’ dan politik untuk memusnahkan lawan politik menggunakan institusi kerajaan,” katanya ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, semalam.
Seterusnya, Shaiful Hazizy turut membangkitkan soal reformasi yang pernah dijanjikan, termasuk cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen, namun perkara tersebut masih belum dilaksanakan.
“Reformasi jadi apa? Reformasi jadi ‘reformati’,” katanya sambil mencadangkan agar SPRM ditukar nama kepada ‘PKRM’ sekiranya institusi tersebut terus dilihat sebagai senjata politik.
Manakala ‘penyakit’ seterusnya, katanya, ialah kegagalan memberikan pembelaan sewajarnya kepada rakyat, khususnya golongan pesawah dan petani.
Shaiful Hazizy juga mempersoalkan keutamaan kerajaan apabila isu-isu berkaitan teknologi pertanian seperti ternakan ikan tilapia dan udang dalam sawah diketengahkan, sedangkan dalam masa sama masalah asas yang dihadapi 40,000 pesawah adalah berkaitan kelewatan mendapatkan bekalan baja.
Sementara itu, ‘penyakit’ berikut tambahnya ialah kegagalan mentadbir serta prestasi beberapa menteri Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan seperti di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Belia dan Sukan yang tidak mencapai tahap sewajarnya.
“Banyak polisi-polisi kerajaan yang u-turn. Dan yang paling menyedihkan sekali, kalau dulu beliau ‘menyalak’ bercakap di jalanan bahawa kebebasan media itu disekat, kebebasan media itu tidak ada dalam negara kita.
“Tapi hari ini peratusan dan juga bilangan ciapan dan posting dalam media sosial yang banyak diturunkan adalah pada waktu beliau menjadi Menteri Komunikasi,” bidasnya kepada Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Tambah Shaiful Hazizy, ‘penyakit’ terakhir pula, Dap yang terus bersikap suka memecah-belahkan keharmonian masyarakat dan menyanggah semangat Perlembagaan.
Katanya, pemimpin UMNO di akar umbi sebelum ini terpaksa menerangkan kepada rakyat mengenai rasional kerjasama dalam kerajaan bersama PH, termasuk bagi meyakinkan orang Melayu mengenai kerjasama bersama Dap.
Namun katanya, beberapa kenyataan pemimpin Dap terus menimbulkan persoalan, antaranya berkaitan cadangan orang Cina menjadi Perdana Menteri, cadangan melibatkan wakil bukan Islam dalam Majlis Fatwa serta mencampuri hal berkaitan pensijilan halal.
Shaiful Hazizy turut membangkitkan tindakan seorang pemimpin Dap yang mempertikaikan titah Sultan Selangor, serta masih tiada tindakan daripada badan penguatkuasa susulan laporan polis berkaitan perkara tersebut. – UMNO ONLINE
