Kelantan Sedia ‘Wala’ Apa Juga Arahan Presiden UMNO – Zawawi

KUALA LUMPUR, 12 Sept – UMNO Kelantan menegaskan untuk ‘wala’ mematuhi apa juga arahan Presiden parti, termasuk sekiranya diarahkan menjalin penyatuan dengan Pas demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Jurucakap Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, pihaknya akan melihat sebarang usaha penyatuan dari sudut positif, khususnya jika ia mampu membawa sinar baharu kepada rakyat Kelantan.

Menurut beliau, sekiranya penyatuan UMNO dan Pas dapat direalisasikan, ia wajar dilihat sebagai peluang untuk membangunkan semula Kelantan yang disifatkannya masih ketinggalan dalam beberapa aspek.

“Walau apa sahaja arahan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kami akan ikut. Kalau disatukan dengan Pas, kami akan melihat kenyataan dan usaha itu dari sudut yang positif untuk orang Kelantan.

“Kalau Presiden kata ke kanan… ke kananlah kita. Kalau ke kiri… ke kirilah kita. Kalau ke depan… ke depanlah kita. Kalau Presiden kata ke belakang… maka ke belakanglah kita. Itulah wala kita kepada Presiden.

“Takkanlah kita hendak bermusuh sampai bila-bila. Kalau Pas sudah kembali, mungkin Kelantan mendapat sinar baharu. Sekarang saya hulurkan tangan untuk berbaik sangka, untuk kita mengangkat agama dalam negara kita dan menyatukan bangsa kita tanpa menidakkan bangsa lain dalam negara ini. Marilah kita bersama-sama mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh mengingatkan agar sebarang langkah penyatuan dibuat dengan penuh pertimbangan supaya tidak mengulangi pengalaman lalu yang akhirnya membawa kepada perpecahan.

“Kita bukan menolak, tetapi kita rasa curiga dan takut perkara yang sama berulang. Kalau dahulu bersatu, akhirnya kita keluar dan perjuangan kita tergendala.

“Sebab itu apabila Presiden UMNO mengajak untuk kembali, yang telah pergi, datanglah kembali. Presiden sendiri sudah berkata bahawa beliau tidak pernah berdendam,” katanya.

Sehubungan itu, Zawawi menyeru seluruh perwakilan serta ahli dan penyokong UMNO supaya memberikan sokongan padu kepada Presiden UMNO demi memastikan parti tidak lagi berdepan perpecahan dalaman.

“Saya menyeru kesemua perwakilan, ahli UMNO dan penyokong UMNO supaya wala kepada Presiden. Jangan ada dua, jangan ada tiga pertimbangan.

“Kalau hendak berjuang, satukanlah. Arahan yang satu akan mendatangkan kemenangan,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO