Anak Muda Jangan Berada Dalam ‘Denial Syndrome’ – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru anak-anak muda untuk tidak berada dalam ‘denial syndrome’ mengenai soal perjuangan parti.

Ini kerana katanya, UMNO sentiasa terbuka dalam menerima sebarang cadangan mahupun kritikan demi masa depan parti.

“Peranan anak-anak muda dalam perjuangan parti cukup besar sebenarnya. Sebab merekalah yang akan mewarisi kepimpinan yang ada pada hari ini. Jadi bagi saya, mereka jangan berada dalam ‘denial syndrome’. Bermakna, sekiranya ada apa-apa yang mereka ingin ketengahkan, mereka kena beritahu.

“Kadang-kadang pemimpin tidak tahu semua perkara sebab kita ini banyak sangat fokusnya. Mungkin ada perkara yang terlepas pandang dan mereka inilah yang akan membantu kita untuk melaksanakannya,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas perjumpaan bersama para perwakilan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) dan UMNOSiswa sebentar tadi.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, anak-anak mahasiswa merupakan aset terbesar parti yang akan menyumbang kepada agama, bangsa dan pembangunan tanah air.

“Saya sangat teruja dapat berjumpa dengan anak-anak mahasiswa ini. Saya gembira berjumpa dengan mereka dan mereka pun gembira berjumpa dengan saya.

“Saya telah memberi mereka sedikit nasihat dan berkongsi pengalaman untuk mereka teruskan perjalanan kehidupan. Mereka ini adalah aset bagi kita. Mereka masih muda dan perjalanan hidup mereka masih jauh,” katanya lagi.

Tambahnya, Sekolah Patriotik UMNO (SPU) merupakan salah satu inisiatif parti untuk menyantuni anak-anak muda di samping menyajikan pelbagai silibus bagi membentuk jati diri mereka.

“SPU ini merupakan ilham daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, yang meminta saya mengadakannya. Saya telah melaksanakannya dan dah sampai lima ‘batch’ pada hari ini.

“Alhamdulillah, saya mendapati mereka dapat mengikuti apa yang telah diajarkan. Hasrat kita adalah untuk melihat anak-anak muda ini mempunyai jati diri yang kuat, sayang kepada negara, mempunyai semangat perjuangan yang tinggi dan tidak pernah berputus asa.

“Lebih penting daripada itu… supaya mereka dapat menghayati sejarah perjuangan UMNO dan ceritakan kepada orang lain. Ini kerana di luar sana mungkin mereka mendapat cerita yang tidak betul, separuh betul dan sebagainya.

“Apabila menyertai SPU, mereka dapat mendengar, melihat sendiri… dan dalam masa yang sama ada komunikasi dua hala. Mereka boleh bersoal jawab. Alhamdulillah, setakat ini apa yang saya temui, mereka sangat berpuas hati dengan silibus yang kita ajarkan kepada mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa para graduan SPU sangat komited untuk bersama-sama parti bagi meletakkan negara ke landasan pembangunan yang betul pada masa akan datang.

“Saya dapati mereka yang mengikuti SPU ini sangat komited untuk bersama-sama dengan UMNO bagi memastikan negara kita berada di landasan yang betul dan melonjakkan Malaysia ini ke satu tahap yang lebih tinggi di persada dunia,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO