UMNO Mesti Kembali Jadi ‘Agenda Maker’ – Abu Jimi
KUALA LUMPUR, 12 Sept – UMNO mesti kembali menjadi ‘agenda maker’ dan bukan sekadar ‘king maker’ yang hanya diperlukan apabila pihak lain memerlukan sokongan atau angka kerusi, tegas Jurucakap Negeri Pahang, Datuk Abu Jimi Samat.
Menurutnya, parti yang bertanggungjawab sebagai pembentuk agenda sepatutnya memberi tumpuan kepada perbahasan dasar parti dan kerajaan, termasuk mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap perkara yang sebelum ini sering diperjuangkan ketika berada di blok pembangkang.
“Parti yang bertanggungjawab sebagai ‘agenda maker’ sepatutnya berbahas tentang dasar-dasar parti dan kerajaan yang perlu ditambah baik seperti yang diuar-uarkan sepanjang mereka menjadi pembangkang.
“Namun, kelantangan yang dilaungkan dalam kongres mereka baru-baru ini banyak bercakap mengenai UMNO. Ia menjadi jelas bahawa UMNO ini mereka anggap sebagai musuh.
“Bila kita telah kembali menjadi musuh mereka, tentunya ia datang bersama kebersediaan untuk meleraikan kerjasama Kerajaan Perpaduan dan membubarkan Parlimen pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, hari ini.
Seterusnya Abu Jimi berkata, UMNO tidak seharusnya terperangkap dengan persoalan mengenai jumlah kerusi yang bakal dimenangi semata-mata, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada usaha memenangi hati dan keyakinan rakyat.
“Kita jangan hanya bertanya, ‘berapa kerusi kita dapat?’ tetapi kita mesti bertanya, ‘berapa banyak hati rakyat yang berjaya kita menangi? Pilihan raya boleh dimenangi dengan angka, tetapi perjuangan hanya boleh dimenangi dengan kepercayaan,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Lipis berkata, Pahang yakin UMNO masih mempunyai masa depan, namun masa depan itu tidak akan hadir dengan sendiri tanpa usaha, keberanian dan kesungguhan seluruh anggota parti.
“Pahang yakin UMNO masih mempunyai masa depan, tetapi masa depan itu mesti kita bina dengan keberanian, disiplin, pembaharuan dan kesetiaan kepada perjuangan,” jelasnya.
Tambah Abu Jimi lagi, sejarah UMNO membuktikan parti itu pernah melalui pelbagai fasa sukar, termasuk kehilangan kuasa dan menjadi pembangkang, namun tetap mampu bertahan kerana UMNO bukan sekadar sebuah parti politik.
“Kita pernah jatuh. Kita pernah kalah. Kita pernah kehilangan kuasa. Kita pernah menjadi pembangkang. Kita pernah melalui zaman yang gelap.
“Tetapi lihatlah hari ini, kita masih tetap di sini kerana UMNO bukan sekadar sebuah parti. UMNO adalah sebuah perjuangan yang telah melalui zaman senang dan susah.
“Selagi akar umbi tidak berputus asa, selagi jentera tidak berhenti bekerja, selagi ahli-ahli masih mempunyai keberanian untuk berubah dan bangkit, UMNO masih mempunyai masa depan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh ahli agar tidak gentar menghadapi masa depan dengan mengambil iktibar daripada pengalaman parti melalui tempoh paling sukar dalam sejarahnya.
“Kita pernah melalui kegelapan, maka jangan kita takut untuk menghadapi masa depan. Orang yang pernah melalui malam yang paling gelap akan lebih menghargai cahaya apabila fajar menyingsing. Dan saya yakin, fajar itu akan tiba,” ujarnya.
Abu Jimi menegaskan UMNO tidak boleh terus berada dalam keadaan hanya diperlukan apabila pihak lain memerlukan sokongan politik, sebaliknya mesti kembali menjadi parti yang diyakini rakyat kerana perjuangan dan dasar yang dibawanya.
“Kita jangan menjadi parti yang hanya diperlukan apabila orang lain memerlukan nombor kita.
“Kita mesti menjadi parti yang diperlukan kerana rakyat percaya kepada perjuangan kita.
“Kita jangan hanya menjadi ‘king maker’. Kita mesti kembali menjadi ‘agenda maker’,” tegasnya. – UMNO Online
