Wanita UMNO Kekal Perjuangkan Kuota 30 Peratus Pembuat Dasar
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Penghargaan yang diberikan kepada golongan wanita dalam setiap sumbangan kepada masyarakat dan gerak kerja parti amat dihargai dan paling penting adalah ia mesti diterjemahkan dengan memberi kepercayaan yang sewajarnya kepada golongan itu sebagai pembuat dasar dan pembuat keputusan.
Demikian kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat Haliza Abdullah, wakil Wanita UMNO Malaysia dalam membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2026, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini, di sini.

“Penghargaan yang paling bermakna bukan sekadar pada kata-kata, tetapi apabila ia diterjemahkan kepada ruang, peluang dan kepercayaan. Sebab itu, kami amat menghargai bila Presiden parti menyebutkan tentang dasar 30% penyertaan wanita.
“Ia adalah pengiktirafan bahawa wanita bukan hanya diperlukan untuk menggerakkan kerja dan jentera, tetapi diperlukan untuk berada di meja membuat keputusan dan pembuat dasar.
“Kalau wanita itu benar-benar tulang belakang parti, jangan hanya pastikan tulang belakang ini kuat untuk berdiri, berikan juga ruang untuk lebih ramai wanita melangkah ke depan,” katanya.
Jelasnya, penglibatan wanita sebagai pembuat dasar pada masa sekarang masih jauh dari sasaran, hanya sekitar sepuluh ke 13 peratus sahaja dan justeru katanya, dalam masa terdekat perlu dinaikkan sekurang-kurangnya kepada kadar 20 peratus.
“Kalau wanita itu tiang seri, jangan hanya pastikan tiang itu teguh menyokong bangunan. Berikan juga ruang untuk tiang itu berdiri di tempat yang sepatutnya. Ramai wanita yang berkelayakan.
“Dan kalau wanita itu akar, ingatlah, akar yang kuat bukan sekadar mencengkam tanah. Akarlah yang memungkinkan pohon tumbuh tinggi, rendang dan menjadi teduhan kepada semua. Maka kami tidak meminta keistimewaan. Yang kami minta adalah kepercayaan, laluan dan peluang,” katanya.
Menyentuh mengenai peratusan calon pilihan raya, Haliza berkata dengan keahlian Wanita UMNO seramai 1.4 juta orang, ia perlu diterjemahkan kepada representasi politik yang lebih saksama dan menuntut lebih banyak kerusi diperuntukkan kepada golongan wanita.
Seterusnya tambah Haliza, Wanita UMNO juga menyokong usaha untuk mewujudkan Talent Bank Wanita UMNO Malaysia seperti mana yang diusulkan dalam ucapan dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia.
“Bank ini bukan sekadar menjadi senarai nama. Ia mesti menjadi pengkalan data kepimpinan wanita yang mempunyai rekod tentang pengalaman, kepakaran, pencapaian, integriti, kepimpinan akar umbi dan penerimaan masyarakat.
“Contohnya, kita perlu tahu siapa wanita yang mahir tentang ekonomi, undang-undang atau teknologi mahupun korporat. Dan juga siapa wanita yang mempunyai kepimpinan akar umbi dan mampu menang serta sedia untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat. Kita mesti membina calon sebelum pilihan raya, bukan mencari calon ketika pilihan raya sudah hampir,” katanya.
Dalam ucapannya juga, Haliza berkata Wanita UMNO Malaysia menyatakan pendirian yang jelas dan terus berdiri teguh dalam solidariti dan sokongan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Wanita UMNO tidak melupakan jasa, sumbangan, dan kepimpinan beliau. Dan Wanita UMNO tidak melupakan seorang pemimpin yang pernah memikul amanah besar kepada parti,” tegasnya. – UMNO ONLINE
