“Jangan Seorang Saja Menang, Biar Bersama-Sama Senang” – UMNO Terengganu

KUALA LUMPUR, 12 Sept – UMNO Negeri Terengganu berharap pucuk pimpinan parti mengambil kira penglibatan dan kedudukan mereka dalam setiap perundingan persefahaman politik di negeri itu.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, setiap permuafakatan perlulah mendatangkan manfaat bagi kedua-dua pihak dan bukan bukan satu pihak sahaja yang memperolehinya.

“Walau setinggi mana ombak perbincangan, walau hangat mana wacana strategi di peringkat ini, tetapi Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden, bila berunding dengan pihak yang satu lagi itu… dan kena fikir-fikirkan juga kami.

“Jangan nanti, adat berkira timbang rasa, adat berunding cari muafakat. Jangan mengejar untung semata, biar bersama mendapat berkat. Jangan nanti berakhir dengan 40-0. Jadi Datuk Seri, berkira biar matang, berunding biar tenang. Jangan seorang saja menang, biar bersama-sama senang,” katanya.

Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata demikian dalam membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Razif lagi, UMNO Terengganu akan berdiri teguh dan taat setia terhadap setiap keputusan pusat.

“Apabila pucuk pimpinan membuat penilaian strategi demi kepentingan nasional dan kelangsungan parti, UMNO Terengganu akan berdiri teguh, patuh, dan taat setia kepada keputusan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Kami tidak akan sesekali menjadi gunting dalam lipatan, kami tidak akan menebuk bahtera dari dalam,” katanya.

Menyedari kedudukan UMNO Terengganu di peringkat negeri, Ahmad Razif berkata seluruh pimpinan bahagian sedang bekerja dan menyusun gerak kerja bagi membantu kepimpinan negeri.

“Kami sedang menyusun barisan dengan pimpinan Datuk Rozi Mamat, Pengerusi Badan Perhubungan, dan ada tiga bekas Menteri Besar: Tan Sri Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Ahmad Said, dan saya sendiri, yang sudah pasti akan bekerja sepenuhnya dan akan membantu sebaik-baiknya Datuk Rozi Mamat ini insya-Allah serta kepimpinan UMNO Negeri Terengganu.

“Kami sedang menyusun barisan, merapatkan saf, melipatgandakan khidmat bakti dari Kemaman ke Besut, dari Hulu Terengganu ke Pesisir Kuala Terengganu, kami berjanji UMNO Terengganu akan bangkit semula menebus maruah parti di bumi Darul Iman,” tegasnya.

Dalam pada itu katanya, UMNO Terengganu memberi komitmen penuh teguh bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam terus memperkukuhkan parti.

“Menjadi kewajipan kita untuk berdiri teguh bersama Presiden dan kepimpinan tertinggi parti kita. Jangan kita biarkan perbezaan pandangan memecahkan saf perjuangan. Berbeza pandangan boleh, tetapi jangan berpecah dalam perjuangan.

“Hari ini UMNO memerlukan kesatuan, disiplin, dan taat setia yang tidak berbelah bahagi. Kalau kita mahu UMNO kembali menjadi parti yang memimpin negara, maka kita mesti terlebih dahulu membuktikan bahawa kita mampu bersatu di bawah satu kepimpinan dan satu tekad,” katanya.

Selain itu tambahnya, UMNO mengamalkan politik prestasi berbanding politik persepsi dan ia jelas kelihatan di peringkat kerajaan pusat apabila menteri dan timbalan menteri daripada UMNO yang menjalankan tugas serta menunaikan tanggungjawab dengan amat baik. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO