Agenda Malaysia Biru Bukan Sekadar Slogan, Harapan Masa Depan Negara

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Jurucakap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Fadil Md Zain berpandangan, Agenda Malaysia Biru yang diperkenalkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bukan sekadar slogan politik, sebaliknya merupakan gagasan jelas mengenai Malaysia yang mahu dibina sekiranya parti itu kembali diberikan amanah untuk memimpin negara.

Menurutnya, perkara paling penting dalam perjuangan politik bukan semata-mata bagaimana kuasa diperoleh, tetapi bagaimana kuasa tersebut digunakan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dan membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik.

“Saya tertarik dengan satu perkara yang disebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan beliau bahawa kemenangan bukan semata-mata tentang bagaimana kita mendapatkan kuasa, tetapi lebih penting bagaimana kita menggunakan kuasa itu.

“Sebab itu saya melihat Agenda Malaysia Biru bukan sekadar satu lagi slogan politik. Ia adalah jawapan kepada satu persoalan yang lebih besar. Kalau UMNO kembali diberikan amanah untuk memimpin, apakah Malaysia yang kita mahu bina.

“Kita tidak boleh bercakap tentang kuasa hanya kerana kita mahu kembali menjadi kerajaan. Kita mesti bercakap tentang kuasa kerana kita mahu menyelesaikan masalah rakyat. Kita mahu ekonomi yang memberi peluang,” katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026, semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata, tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada pertumbuhan ekonomi pada angka, sebaliknya perlu memastikan rakyat mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan serta membina masa depan yang lebih baik.

“Kita mahu ekonomi yang memberi peluang, anak-anak muda yang mempunyai kemahiran dan pekerjaan yang baik serta rakyat yang mempunyai kemampuan untuk memiliki aset dan membina kehidupan yang lebih selesa.

“Sebab itulah Presiden memperkenalkan Agenda Malaysia Biru dengan lapan tonggak utama yang antaranya adalah Malaysia negara pencipta, Malaysia negara berkemahiran, Malaysia negara pemilik dan Malaysia negara berdaulat,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban itu, semua pihak dalam parti perlu terus tekad dalam perjuangan.

“Di situlah hakikat perjuangan. Kita mungkin kecewa, kita mungkin diuji dan mungkin tidak mendapat apa yang kita harapkan pada hari ini.

“Tetapi perjuangan tidak berhenti hanya kerana kita tidak mendapat apa yang kita mahu. Perjuangan ini lebih besar daripada kita,” tegasnya.

Mengulas peranan Pemuda UMNO pula, Fadil berkata, sayap parti itu akan terus bergerak ke hadapan dengan semangat, kesetiaan dan keteguhan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

“Pemuda UMNO akan terus mara, terus bekerja, terus setia dan terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

“Marilah kita melangkah ke medan perjuangan ini dengan semangat yang membara, jiwa yang kental dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya

Beliau yakin kesatuan, keikhlasan dan kesungguhan seluruh jentera parti akan menjadi kekuatan penting untuk UMNO terus berdiri teguh serta menghadapi cabaran politik mendatang.

“Insya-Allah, dengan kesatuan, keikhlasan dan kesungguhan, kita akan terus berdiri teguh, melangkah gagah dan meneruskan perjuangan ini hingga mencapai kejayaan.

“Dengan izin Allah, Negeri Melaka akan kekal menjadi milik UMNO-Barisan Nasional. Pemuda UMNO bersiap sedia untuk melangkah ke medan perjuangan di Negeri Melaka,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO