Rakyat Waspada Manipulasi AI, Pertahan Demokrasi Digital – Azalina
KUALA LUMPUR, 12 Sept — UMNO menggesa rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati terhadap kandungan di media sosial susulan laporan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mempengaruhi perbincangan politik di negara ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata laporan yang didedahkan oleh Anthropic dan dilaporkan Channel News Asia itu membabitkan kira-kira 1,000 akaun X palsu, laman berita rekaan serta kandungan yang didakwa mengandungi tuduhan palsu.
Menurutnya, meskipun setakat ini belum terdapat bukti bahawa operasi berkenaan berjaya mengubah keputusan pilihan raya atau pendirian pengundi, pendedahan itu perlu diberi perhatian serius.
“Persoalan penting sekarang ialah siapa yang mengendalikan operasi ini, siapa yang membiayainya dan untuk kepentingan siapa ia dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata perkembangan teknologi ketika ini membolehkan sesiapa sahaja mewujudkan halaman media sosial yang kelihatan seperti portal berita atau laman maklumat, sekali gus menyukarkan orang ramai membezakan kandungan sahih dengan maklumat yang dimanipulasi.
Katanya, berita sebenar juga boleh dicampurkan dengan cerita separuh benar, tajuk mengelirukan atau fakta yang dikeluarkan daripada konteks sehingga membentuk persepsi yang tidak tepat.
Beliau turut memberi perhatian kepada potensi manipulasi di ruangan komen, termasuk penggunaan akaun palsu atau bot berasaskan AI untuk menghasilkan komen dalam jumlah besar bagi menyokong sesuatu pihak atau menyerang pihak lain.
“Apabila perkara sama diulang oleh puluhan atau ratusan akaun, orang ramai boleh mendapat gambaran seolah-olah itulah pendapat majoriti rakyat.
“Banyak komen tidak semestinya bermakna ramai rakyat berpendapat begitu. Komen yang paling kuat, paling banyak atau paling kerap diulang juga tidak semestinya benar,” katanya.
Azalina berkata perkara itu penting diberi perhatian kerana ramai rakyat Malaysia lazimnya membaca ruangan komen selepas melihat sesuatu berita bagi mengetahui pandangan pengguna lain.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata UMNO juga tidak terkecuali daripada serangan persepsi, termasuk dakwaan berulang di ruangan komen yang menggambarkan parti itu sebagai jahat, korup atau tidak beramanah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO tidak menganggap semua kritikan terhadap parti sebagai palsu atau datang daripada bot.
“Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik UMNO, kerajaan atau mana-mana pemimpin. Kritikan yang berasaskan fakta mesti dihormati,” katanya.
Azalina turut mengambil maklum penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung laporan berkenaan dan berharap setiap siasatan serta tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil tanpa mengira parti atau pihak yang terlibat.
“Jika penyokong parti pemerintah melanggar undang-undang, ambil tindakan. Jika penyokong parti pembangkang melanggar undang-undang, ambil tindakan.
“Undang-undang tidak boleh mempunyai satu ukuran untuk kawan dan satu lagi ukuran untuk lawan,” katanya.
Sehubungan itu, Penerangan UMNO menyeru rakyat supaya menyemak sumber dan fakta sebelum mempercayai kandungan yang dibaca atau dilihat di media sosial, selain membezakan antara berita dengan pendapat.
Azalina turut mengingatkan supaya jumlah tanda suka, perkongsian atau komen tidak dijadikan ukuran mutlak terhadap kebenaran sesuatu maklumat atau gambaran mengenai sentimen rakyat.
“Teknologi boleh menghasilkan seribu akaun dan seribu komen. Tetapi teknologi tidak boleh menentukan kebenaran dan apa yang sebenarnya rakyat rasai di bawah,” katanya.
Beliau berkata Malaysia memerlukan ruang digital yang bebas daripada manipulasi, namun pada masa sama kekal terbuka kepada kritikan dan perbezaan pandangan.
“Demokrasi Malaysia mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk manipulasi dan campur tangan asing,” katanya lagi. – UMNO Online
