Fakta Atasi Persepsi, Prinsip ‘Rule of Law’ Wajib Ditegakkan – Amir Ikram

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Jurucakap Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara, Muhammad Amir Ikram Mohd Fadil menegaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang mesti diberikan kepada semua pihak termasuk pemimpin UMNO, sama ada mereka yang pernah memegang jawatan mahupun kepimpinan masa kini.

Menurutnya, pendirian berhubung keadilan bukan bermaksud meminta sesiapa mengatasi undang-undang, sebaliknya memastikan setiap proses perundangan dilaksanakan secara adil, telus dan berasaskan fakta.

“’Rule of law’, bukan rule by law’. Keadilan mesti diberikan kepada semua termasuk pemimpin-pemimpin UMNO, dahulu mahupun kini.

“Dalam isu 1MDB, RCI Tabung Haji, Kertas Putih FELDA dan pelbagai episod yang membentuk persepsi terhadap UMNO, kita tidak meminta sesiapa mengatasi undang-undang.

“Kita hanya meminta supaya fakta mengatasi persepsi, proses undang-undang dihormati dan kebenaran mendapat tempatnya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, semalam.

Beliau berkata, persepsi yang terbentuk tanpa berlandaskan fakta bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi seseorang individu, malah memberi kesan mendalam kepada keluarga serta imej sebuah organisasi dan parti.

“Isu keadilan tidak seharusnya dilihat semata-mata dalam kerangka politik kerana ia menyentuh prinsip serta nilai yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

“Saya melihat bagaimana persepsi boleh mengaibkan seseorang dan memberi kesan kepada sebuah keluarga. Sebab itu, soal keadilan ini bukan sekadar politik. Ia dekat dengan hati kami semua,” katanya lagi.

Seterusnya kata Amir Ikram, aspek berkenaan turut mempunyai kepentingan besar kepada ahli UMNO di luar negara kerana perkembangan politik dan pentadbiran Malaysia sentiasa menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

“Bagi kami di luar negara, perkara ini juga penting kerana di luar negara juga persepsi terhadap Malaysia dibentuk. Apa yang berlaku di tanah air dibaca, dibincangkan dan dinilai oleh masyarakat dunia,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pendirian mereka jelas bahawa kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dalam kerangka Perlembagaan serta sistem Raja Berperlembagaan.

“Pendirian kami jelas. Kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati dalam kerangka Perlembagaan dan sistem Raja Berperlembagaan,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO