Insafi Cabaran Lalu, UMNO Perkukuh Saf Hadapi PRU16 – Rahimi
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Seluruh ahli dan pimpinan UMNO perlu mengambil iktibar daripada pelbagai cabaran politik yang dilalui parti sejak 2018 dengan memperkukuh perpaduan serta memastikan gerak kerja di setiap bahagian dilaksanakan secara sepadu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad berkata, antara perkara penting yang ditekankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya ialah keperluan seluruh anggota parti untuk melakukan refleksi dan mengambil pengajaran daripada pengalaman politik lapan tahun lalu.
“Presiden berkata kita perlu insaf atas apa yang kita lalui sepanjang lapan tahun lepas, sejak 2018 dalam keadaan politik yang tidak stabil. Ahli-ahli UMNO, pimpinan dan sebagainya perlu mengambil iktibar daripada pelbagai cabaran politik yang telah dilalui oleh UMNO sendiri dan mementingkan perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, Rahimi berkata kesatuan antara parti-parti yang mempunyai aspirasi yang sama juga penting dalam memastikan kedudukan Islam dan Melayu terus diperkukuhkan, tanpa meminggirkan kepentingan agama serta kaum-kaum lain seperti yang dijamin Perlembagaan Malaysia.
Katanya lagi, setiap cadangan yang diketengahkan Presiden diyakini telah melalui penelitian dan kajian, bukannya sekadar janji politik untuk memenangi pilihan raya.
“Kita yakin apa yang telah dilontarkan itu telah difikirkan, dikaji dan diteliti, bukan seperti segelintir pihak memberikan sesuatu janji setakat untuk memenangi pilihan raya. Tetapi setelah mengambil alih kerajaan, tidak mampu untuk melaksanakan apa yang dijanjikan semasa kempen,” katanya.
Terdahulu beliau meraikan perwakilan dan pemerhati UMNO bahagian Pekan ke Perhimpunan Agung UMNO 2026, pada satu majlis Hi-Tea di sini petang semalam.
Sementara itu, Rahimi berkata semangat yang ditiupkan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2026 perlu diteruskan di peringkat akar umbi dengan seluruh ahli dan pimpinan sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
Beliau berkata perkara tersebut turut dizahirkan melalui sokongan warga Pekan yang terus bersama perjuangan parti dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Alhamdulillah, pada petang ini kita meneruskan program yang sama seperti tahun lepas untuk meraikan keluarga-keluarga dan warga Pekan, Pahang. Pada kali ini jumlah yang hadir lebih ramai daripada tahun lepas.
“Masing-masing mengharapkan berita baik untuk bosku. Tapi malangnya kita tidak mendapat berita yang baik itu. Jadi kita boleh berdoa dan kita berikhtiar. Kita jadikan perkara ini sebagai satu semangat untuk kita teruskan,” katanya.
Rahimi menegaskan keadaan tersebut sama sekali tidak akan mematahkan semangat warga Pekan untuk meneruskan perjuangan dan gerak kerja parti. Walaupun bosku berada di belakang tirai, ini tidak akan mematikan semangat kami, khasnya di Pekan untuk terus melaksanakan kerja menghadapi PRU16,” katanya. – UMNO Online
