PAU 2026: Edisi Baharu Kad Ahli Tarik Perhatian
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Seorang ahli UMNO dari Bahagian Iskandar Puteri, Muhammad Firdaus Jantan menyifatkan pengalaman memiliki kad ahli UMNO sejak sekian lama menjadi ahli parti sebagai satu perkembangan yang memberi semangat baharu kepada dirinya dan rakan-rakan dalam parti.
Beliau berkata proses mendapatkan kad berkenaan juga amat mudah dan pantas apabila hanya mengambil masa kurang daripada lima minit.
“Sepanjang hampir 10 tahun saya menjadi ahli UMNO, inilah kali pertama saya memegang kad ahli UMNO. Proses untuk mendapatkan kad ini pun mudah, tak sampai lima minit sudah siap.
“Saya harap rakan-rakan khususnya Pemuda yang ingin mendapatkan kad ini, jangan lupa datang ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) untuk mendapatkannya,” katanya.
Sementara itu, Wanita UMNO dari Paya Besar, Nur Zalinah Abdullah ketika ditemui berkata beliau mengambil kesempatan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 untuk mendapatkan kad ahli UMNO edisi khas sempena sambutan ulang tahun ke-80.
Beliau malah turut menggalakkan ahli UMNO lain mengambil peluang berkenaan untuk mendapatkan kad edisi khas tersebut.
“Senang sahaja, sekejap sahaja prosesnya. Kebetulan datang ke sini, jadi ambil kesempatan untuk dapatkan kad baharu ini.
“Tahun lepas saya sudah buat, tetapi apabila ada edisi khas ini, saya rasa eloklah tukar kepada yang baharu,” ujar beliau.
Terdahulu, kaunter Kad Keahlian UMNO ini dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Kaunter berkenaan akan terus beroperasi sehingga 12 September ini bagi memberi peluang kepada ahli dan pengunjung mendapatkan kad keahlian UMNO. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
