UMNO Hormati Proses Pengampunan, Mahu Permohonan Najib Dipercepat
KUALA LUMPUR, 11 Sept — UMNO berharap permohonan pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dapat dipertimbangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang tanpa sebarang kelewatan yang tidak perlu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu mengambil maklum kenyataan rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang hari ini.
Menurutnya, UMNO menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.

KUALA LUMPUR, 11 Sept — Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membentangkan Laporan Setiausaha Agung UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. Foto – UMNO-Online.
“UMNO mengambil maklum bahawa permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Razak telah ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak, sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan rasmi Kerajaan.
“Sehubungan itu, UMNO berharap agar permohonan tersebut dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, perjuangan UMNO untuk mendapatkan keadilan bagi Najib bukan usaha mencabar institusi atau proses undang-undang, sebaliknya akan terus dilaksanakan melalui ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang.
Katanya, UMNO mahu memastikan hak Najib untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Bagi UMNO, perjuangan mendapatkan keadilan buat Dato’ Sri Mohd Najib bukanlah suatu usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang.
“Sebaliknya, UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak beliau untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui UMNO memahami keresahan dan kekecewaan ahli parti serta rakyat yang telah lama menantikan perkembangan berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menyeru semua pihak supaya kekal bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan.
Asyraf Wajdi menegaskan UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan bagi Najib melalui saluran yang sah.
“UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan. Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Dato’ Sri Mohd Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya lagi. – UMNO Online
