UMNO Perlu Menang Kerana Prestasi, Bukan Sekadar Tolak PH

KUALA LUMPUR, 11 Sept – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memastikan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) datang kerana keyakinan terhadap parti dan prestasinya, bukan semata-mata disebabkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Wakil Badan Perhubungan UMNO Perak, Muhammad Iqbal Jamal Jamaludin berkata, pendekatan politik masa depan perlu memberi penekanan kepada prestasi pentadbiran selain terus mempertahankan asas perjuangan UMNO yang selama ini menjadi teras parti.

Menurut beliau, pencapaian Negeri Perak di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, membuktikan bahawa politik prestasi perlu diketengahkan kepada rakyat.

“Dari segi pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar), kita meningkat. Dari segi kutipan hasil, kita meningkat hampir RM490 juta dalam tempoh empat tahun.

“Sayang sekali kalau kita ada angka-angka yang positif dan semua angka positif ini dirasai oleh rakyat secara keseluruhannya, ini perlu diambil kira untuk kita menghadapi PRU-16,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Beliau berkata, UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada pendekatan ‘parti ini mentadbir negeri ini, parti ini mentadbir negeri ini’, sebaliknya perlu membuktikan kemampuan mentadbir melalui pencapaian yang boleh dirasai rakyat.

Katanya, Perak kini berada di landasan yang betul dan terus bergerak ke hadapan meskipun terdapat ketika tertentu kemajuan berlaku secara lebih perlahan.

Dalam menghadapi PRU-16, beliau menegaskan UMNO perlu melihat dirinya sebagai ‘government in waiting’ dan mempersiapkan parti dengan dua pendekatan utama, iaitu bahasa perjuangan dan bahasa masa hadapan.

“Bahasa perjuangan ini sudah tentu apa yang kita buat 80 tahun daripada dulu lagi untuk kita terus mempertahankan Islam, untuk kita terus mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, hak dan kepentingan orang-orang Melayu. UMNO juga perlu bercakap tentang bahasa masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan generasi muda memilih UMNO dan BN atas keyakinan terhadap parti, bukan sekadar kerana tidak menyukai PH.

“Jadi kita perlu fikir dan merancang sesuatu yang esok kalau PRU-16, orang undi Barisan Nasional kerana UMNO dan Barisan Nasional. Bukan kerana orang tak suka kepada PH,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata UMNO perlu tampil dengan perancangan yang jelas berkaitan isu masa depan rakyat, termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Beliau turut menegaskan isu pekerjaan perlu diberikan perhatian serius kerana negara berdepan cabaran berkaitan tenaga kerja.

Katanya, agenda masa depan tersebut perlu diterjemahkan dalam bentuk tawaran yang jelas supaya rakyat, khususnya pengundi muda, mempunyai sebab yang kukuh untuk memilih UMNO dan BN pada PRU-16. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO