Produk Warisan, Hasil Inovasi Usahawan Tempatan Warnai Gerai Jualan
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Lebih 100 gerai jualan menghiasi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, sekali gus menjadi platform kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk dan perkhidmatan kepada warga UMNO serta pengunjung.
Tinjauan UMNO Online mendapati pelbagai produk ditawarkan termasuk pakaian, makanan dan hobi koleksi, selain produk inovasi hasil usahawan tempatan.
Pengarah Caerus Group Sdn Bhd, Khaidir Baharuddin berkata, penyertaan kali pertama di PAU 2026 dimanfaatkan untuk memperkenalkan koleksi pakaian berkonsepkan warisan Malaysia menerusi jenama Caerus.

“Koleksi khas yang dibawa sempena PAU mengetengahkan identiti dan budaya Malaysia, selain dihasilkan sepenuhnya oleh rakyat tempatan.
“Produk ini dibuat, direka dan segala-galanya dilakukan di sini. Insya-Allah, kami juga sedang berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk membawa produk ini ke pasaran luar negara.
“Alhamdulillah, jualan semakin baik sejak semalam apabila persidangan mula berlangsung,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Affan Ahmad Murad, 36, daripada Hobi Unik Collectibles berkata, penyertaan kali pertama mereka lebih kepada usaha memperkenalkan permainan kad dagangan atau TCG kepada pengunjung.

Katanya, antara koleksi yang dibawa termasuk kad One Piece, Pokémon dan kad sukan khususnya bola sepak.
“Kami datang ke sini lebih kepada memberi kesedaran bahawa hobi ini sebenarnya sudah wujud dan masih ramai yang tidak mengetahuinya.
“Buat masa ini, kami mahu orang ramai mengenali hobi ini dahulu sebelum pergi ke peringkat seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Pembantu Jualan Bumi Gigih Sdn Bhd, Mohd Eizwan Solleh berkata, penyertaan kali keempat di PAU tahun ini turut membuka ruang untuk memperkenalkan produk makanan yang diinovasikan supaya lebih tahan lama dan mudah dinikmati.

Menurutnya, produk yang dipasarkan iaitu dodol dibungkus dengan bungkusan lebih praktikal itu boleh bertahan sehingga setahun dan sedang dikembangkan untuk memasuki beberapa rangkaian pasar raya.
Eizwan yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) intelektual berkata, produk berkenaan dihasilkan menerusi inovasi daripada produk asal bapanya, dengan ketahanan sehingga setahun serta tekstur yang lebih mudah dikunyah termasuk oleh kanak-kanak.
“Kami juga bekerjasama dengan pihak Zakat dan MARDI (Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dalam usaha mengembangkan produk ini. Alhamdulillah, semua agensi memberikan sokongan,” katanya.
Pengunjung masih berpeluang mengunjungi pelbagai gerai jualan yang disediakan di sekitar lokasi PAU 2026 bagi menyokong usahawan tempatan dan mendapatkan produk yang ditawarkan.
Marilah berikan sokongan kepada produk-produk tempatan yang dipasarkan untuk membantu percambahan ekonomi orang Melayu itu sendiri. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
