Skrin Paparan Tumpuan Ikuti Perbahasan PAU 2026

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 terus menjadi tumpuan akar umbi yang mengikuti perjalanan persidangan menerusi skrin paparan di pelantar Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Suasana di pelantar berkenaan dilihat meriah dengan kehadiran akar umbi yang mengikuti dengan penuh perhatian perbahasan yang berlangsung di dalam Dewan Merdeka, terutama ketika menyentuh hala tuju parti.

Bagi Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita UMNO Bahagian Jerai, Azita Jab, kemudahan skrin paparan yang disediakan membolehkan ahli yang berada di luar dewan turut mengikuti perbahasan dengan lebih dekat.

“Dengan adanya skrin paparan ini, semua orang boleh dengar dan ikuti apa yang dibahaskan.

“Kalau boleh masuk ke dalam dewan, kita masuk, tetapi apabila ada skrin, kita yang berkumpul beramai-ramai di luar pun masih boleh mengikuti persidangan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, ahli UMNO dari Paya Besar, Zarinah Dollah dan Hawa Uda turut berkongsi keterujaan serta semangat mereka untuk hadir ke PAU.

Kata mereka kehadiran ke PAU setiap tahun bukan sekadar untuk mengikuti perjalanan persidangan, malah menjadi kesempatan untuk bersama-sama rakan seperjuangan serta merasai sendiri bahang dan kemeriahan perhimpunan parti.

“Memang saya setiap tahun datang. Saya datang bersama kawan-kawan daripada bahagian dan kali ini kami datang satu bas

“Saya rasa seronok kali ini. Insya-Allah, kalau diberi kesempatan, umur panjang dan sihat, saya akan datang lagi,” katanya.

Terdahulu, upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa berlangsung pagi tadi di Plaza Merdeka, menjadi simbolik bermulanya secara rasmi PAU 2026, yang menghimpunkan barisan kepimpinan dan perwakilan parti dari seluruh negara.

Untuk rekod, PAU kali ini menyaksikan kehadiran seramai 6,401 perwakilan, dengan 2,922 merupakan perwakilan UMNO induk, manakala Wanita UMNO seramai 1,163, Pemuda UMNO (1,171) dan Puteri UMNO (1,145).

Selain itu, gerai jualan membabitkan usahawan turut disediakan selain laman korporat akan beroperasi bermula 8 September selain pelbagai program lain. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO