Pemuda UMNO Hormati Keputusan Lembaga Pengampunan

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghormati dan menjunjung kasih atas keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung permohonan pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya menghormati keputusan untuk menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan tersebut kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan pada masa akan datang.

Menurut beliau, kuasa pengampunan adalah hak yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, proses ini mesti dihormati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan, desakan atau campur tangan politik daripada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal berkata, Pemuda UMNO akan terus berpegang kepada saluran undang-undang dan Perlembagaan dalam perkara berkenaan.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati proses yang sedang berlangsung serta tidak mempolitikkan kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Daulat Tuanku,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO