Agenda Malaysia Biru, Musyawarah Nasional Satukan Haluan Demi Rakyat – Nurul Amirah
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusuf berpandangan, Agenda Malaysia Biru dan Musyawarah Nasional yang diketengahkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa makna besar dalam usaha memperkukuh penyatuan serta membentuk satu hala tuju politik yang jelas demi kepentingan rakyat.
Jelasnya, penyatuan yang dimaksudkan bukan sekadar berkongsi pentas atau menyampaikan ucapan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kesediaan semua pihak untuk duduk semeja, berbincang dan bergerak dalam satu arah serta matlamat yang sama.
“Agenda Malaysia Biru dan Musyawarah Nasional ini membawa satu makna yang begitu besar iaitu penyatuan. Penyatuan bukan sahaja apabila kita berada di atas pentas dan menyampaikan ucapan, tetapi apabila kita berada dalam satu arah tuju yang sama dan bersedia untuk berbincang semeja.
“Penyatuan berkenaan mestilah berteraskan kepentingan rakyat, agama dan negara, sekali gus menjadikan Musyawarah Nasional sebagai wadah penting untuk membentuk kolaborasi nasional yang terbaik.
“Kalau kita berjaya menyatukan semua pandangan tersebut ke arah satu matlamat yang sama demi rakyat, demi agama dan negara, saya percaya Musyawarah Nasional ini benar-benar memainkan peranan ke arah satu kolaborasi nasional yang terbaik,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Nurul Amirah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah turut menyambut baik penekanan terhadap agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Skill Nation dan pembangunan kemahiran sebagai antara pendekatan penting untuk memberikan masa depan lebih jelas kepada golongan muda.

“Apabila Presiden meletakkan satu harapan dan memberikan laluan berkaitan masa depan, termasuk melalui TVET dan Skill Nation, ia memberikan gambaran bahawa kita bukan sahaja sekadar memberi harapan kepada orang muda, tetapi turut menyediakan laluan serta hala tuju mereka selepas itu.
“Anak muda hari ini bukan sekadar mahukan tawaran dan harapan baharu, tetapi turut memerlukan laluan yang jelas untuk mereka membina kehidupan serta menentukan masa depan. Orang muda mahukan tawaran dan harapan baharu, tetapi pada masa yang sama mereka juga mahukan laluan itu ditunjukkan,” katanya lagi.
Tambah beliau, pendekatan tersebut memperlihatkan bahawa agenda pembangunan anak muda perlu bergerak daripada sekadar menawarkan peluang kepada penyediaan ekosistem yang membolehkan mereka menguasai kemahiran, membina kerjaya dan menentukan masa depan dengan lebih yakin. – UMNO Online
