Ahmad Zahid Gariskan Lapan Ikhtiar Utama Untuk Agenda Malaysia Biru

KUALA LUMPUR, 11 Sept – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menggariskan Agenda Malaysia Biru dengan lapan ikhtiar utama jika kembali menerajui Putrajaya hasil daripada Gelombang Biru dan persefahaman politik yang wujud kini.

Ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Agenda Malaysia Biru membawa maksud Berdaulat dan Bersatu, Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama serta Unggul dan Disegani Dunia.

“Dengan Agenda Malaysia Biru ini kita mahu mencipta kekayaan negara, membina manusia, memperluas pemilikan, menjaga kesejahteraan, menghadapi krisis, memelihara rakyat, membina kepercayaan dan mempertahankan kepentingan nasional,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Katanya, dengan lapan ikhtiar dan sasaran yang telah digariskan melalui Agenda Malaysia Biru, akan disusun semula keutamaan negara.

“Bermula dengan penstrukturan semula regim percukaian termasuk GST (cukai barangan dan perkhidmatan) pada kadar dan peratusan yang munasabah, kerana kita berhasrat menyelaraskan jaminan sosial rakyat, memudahkan urusan perniagaan serta membangunkan ekonomi wilayah berasaskan kekuatan Semenanjung, rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.

“Pada masa yang sama, kita mahu memperbaharui perjanjian dengan penjawat awam, melindungi kebajikan guru, mengarusperdanakan muamalah Islam dan memastikan PuTERA35 dilaksanakan sebagai agenda seluruh kerajaan,” katanya.

Berikut merupakan lapan ikhtiar utama Agenda Malaysia Biru:

1. Ikhtiar pertama menjadikan Malaysia Negara Pencipta.
2. Ikhtiar kedua menjadikan Malaysia Negara Berkemahiran.
3. Ikhtiar ketiga menjadikan Malaysia Negara Pemilik.
4. Ikhtiar keempat menjadikan Malaysia Negara Sejahtera.
5. Ikhtiar kelima menjadikan Malaysia Negara Berdaya Tahan.
6. Ikhtiar keenam menjadikan Malaysia Negara Peduli.
7. Ikhtiar ketujuh menjadikan Malaysia Negara Beramanah.
8. Ikhtiar kelapan menjadikan Malaysia Negara Berdaulat. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO