Laporan Setiausaha Agung UMNO – Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Bismillahirrahmanirrahim.
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Badai melanda tidakkan gentar,
Setia pada perjuangan hakiki.
Pahlawan Melayu memegang tombak,
Kibar bendera di puncak bukit,
Biar dipukul gelombang ombak,
Pantang undur walau sedikit.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,
Alhamdulillah segala puji dan syukur bagi Allah SWT kerana dengan limpah rahmat, inayah dan keizinan-Nya, kita dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka ini, merapatkan saf perjuangan dan menzahirkan ikrar kesetiaan dalam Persidangan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2026.
Menghulurkan salam ukhuwah, saya mengucapkan selamat datang kepada semua dif-dif kenamaan, para jemputan, parti-parti komponen Barisan Nasional, rakan-rakan muafakat lama yang kembali membina kebersamaan khususnya kepimpinan tertinggi PAS serta seluruh perwakilan dan pemerhati dari seluruh pelusuk tanah air.
We are deeply honoured to welcome Their Excellencies, the Ambassadors and distinguished representatives of the diplomatic corps from Indonesia, Singapore, Vietnam, Timor-Leste, Australia, China, Iran, Palestine, Switzerland, Uzbekistan, Yemen, United Kingdom, Syria, Iraq, Oman, United State of America (USA), Japan, New Zealand and Turkiye to the UMNO General Assembly 2026. Your presence here today is greatly appreciated and reflects the enduring friendship and goodwill between Malaysia and your respective countries.
Sidang perwakilan sekalian,
Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada 21,484 UMNO cawangan dan 191 UMNO bahagian di seluruh negara yang bermesyuarat dalam tempoh yang ditetapkan. Ini adalah bukti degup jantung dan nadi perjuangan UMNO masih hidup, kuat dan terus berdenyut di setiap pelusuk negara.
Sahabat-sahabat sekalian, keberadaan kita di dewan keramat ini adalah satu manifestasi sejarah yang amat berharga. 80 tahun yang lalu, perjuangan suci ini telah dititah dan ditiupkan rohnya bermula dari bumi bertuah di Istana Johor. Dari perkarangan istana inilah, tercetusnya sebuah kebangkitan bangsa yang menyatukan seluruh jiwa Melayu hingga lahirnya Rumah Bangsa ini.
Selepas lapan dekad berbakti, obor perjuangan yang dinyalakan di Johor itu tetap menyala dan kembali menerangi seluruh negara. Wajah kita ditegakkan kembali dengan kemanisan perjuangan. Dada kita membunga dengan denyut kesyukuran. Kerana angin perubahan telah mula bertiup kencang. Gelombang Biru kembali membadai bumi Malaysia, membuktikan bahawa sang gergasi telah bangun dari lenanya!
Alhamdulillah kita telah melakar kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini. Ini bukan sekadar angka atau statistik biasa, tetapi ini adalah gambaran keyakinan rakyat yang telah kembali mengalir ke lubuk perjuangan UMNO Barisan Nasional!
Pertama, kemunculan semula tunas sokongan pengundi Cina. Pada 2022, sokongan pengundi Cina di Johor hanyalah 9.5%. Kali ini ketika PRN 2026, ia melonjak lebih sekali ganda kepada 20%. Di Negeri Sembilan, trend-nya juga sama. 4 tahun lepas, sokongan pengundi Cina kepada BN hanyalah 8.7%. Tahun ini, ia meningkat kepada 14%. Tahniah dan terima kasih kepada YB Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang memimpin rakan komponen kita, MCA.
Kedua, peningkatan ketara sokongan pengundi India. Pada tahun 2022, undi etnik India yang kita perolehi di Johor adalah 18.9%. Ia melonjak mendadak kepada 54.8% pada PRN tahun ini. Cerita di Negeri Sembilan juga sama. Pada tahun 2022, undi kaum India kepada kita hanyalah 17.6%. Tetapi PRN bulan lepas, 49.6% orang India mengundi Barisan Nasional. Dalam kedua-dua PRN tahun ini, BN memperoleh undi India tertinggi berbanding parti-parti lain. Syabas dan tahniah Presiden MIC YBhg Tan Sri Dr Vigneswaran, kepimpinan tertinggi MIC, PPP dan Friends of BN serta seluruh jentera parti
Kita juga amat bersyukur dengan peningkatan mendadak sokongan pengundi Melayu. Pada 2022 di Negeri Sembilan, 45.8% Melayu mengundi BN. Pada 2026, jumlahnya adalah 79%. Di Johor, hanya 44.9% pengundi Melayu yang memilih Barisan Nasional pada 2022. Tahun ini, PRN kali ini, pengundi Melayu yang memilih kita adalah 82.4%.
Peningkatan hampir mutlak sokongan Melayu kepada UMNO ini sudah tentunya disumbang daripada kemenangan saluran-saluran penting antaranya undi tentera. Kita menang kesemua 14 saluran kem tentera dengan 82.1% pengundi memilih kita di Johor. Sementara di Negeri Sembilan hasil kerjasama dengan PAS, undi tentera kepada kita mencecah 92.47% dan kita menang di kesemua 8 saluran. Syabas dan tahniah kepada YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin atas kepimpinan dan ikhtiar yang membuahkan hasil.
Begitu juga kemenangan manis di semua pusat-pusat daerah mengundi PDM FELDA di Negeri Sembilan dan Johor. Tahniah dan syabas kepada bekas Pengerusi Felda yang tidak disambung semula, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik atas kerja keras mengembalikan keyakinan warga peneroka
Tidak kurang juga undi anak muda. Untuk makluman semua, kita menang semua saluran anak muda Melayu di Johor dan Negeri Sembilan. Di Johor, 78% anak muda mengundi Barisan Nasional. Di Negeri Sembilan undi anak muda kepada kita mencecah 79%. Untuk itu, kita merakamkan syabas dan tahniah kepada YB Dr. Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO, serta Saudari Nurul Amal Mohd Fauzi, Ketua Puteri UMNO atas kegigihan mengemudi jiwa anak muda kembali kepada Rumah Bangsa ini
Dan akhirnya, faktor paling utama kejayaan kita, tulang belakang yang sentiasa gigih merayu undi, sentiasa Ikhlas membakar semangat di bawah Terik Mentari, tidak pernah mengeluh walau seringkali permintaan belum mampu dipenuhi. Inilah ibu-ibu kita, kakak-kakak kita, tiang seri perjuangan kita, jentera Wanita UMNO yang diketuai YB Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad. Tahniah dan terima kasih dari lubuk hati kami kepada kepimpinan dan ahli Wanita UMNO Malaysia.
Sidang perwakilan yang dihormati sekalian,
Sejak YAB Presiden menggagaskan konsep Rumah Bangsa dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, Ibu Pejabat UMNO telah menerima sambutan luar biasa yang mahu kembali bahkan yang mahu bersama-sama berjuang di dalam Rumah Bangsa. Sejak diumumkan di Perhimpunan Agong UMNO lapan bulan yang lepas, seramai 45,808 orang yang direkodkan sebagai ahli dan kembali ke Rumah Bangsa.
Ini menjadikan jumlah keahlian UMNO setakat 31 Ogos 2026 mencecah 3,251,456 orang. Mengikut pecahan, jumlah keahlian biasa adalah seramai 1,195,265 orang. Manakala bagi Pergerakan Wanita, keahlian adalah seramai 1,412,052 orang, Pemuda 418,063 orang dan Puteri 226,076 orang.
Lima negeri yang mencatatkan rekod pertambahan ahli baru tertinggi ialah Johor diikuti Pahang, Selangor, Perak dan Sabah
Sidang perwakilan sekalian,
Barang diingat, jangan terlalu mendongak ke atas tatkala angin memihak kepada kita. Kerana gelombang yang membawa kita ke atas, boleh juga menghempas kita ke bawah jika kita lupa diri, sombong dan leka. Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendabik dada, tetapi amanah berat untuk kita berkhidmat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan jua.
Namun, kejayaan yang kembali memutik di Johor dan Negeri Sembilan ini bukannya datang bergolek secara percuma. Penyatuan ummah ini dicemburui lawan hingga terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi. Pelbagai intimidasi, pelbagai fitnah dan pelbagai juga tuduhan-tuduhan jahat telah direka, semata-mata untuk mengaibkan, mencalar reputasi dan menguji kecekalan hati pimpinan kita.
Benarlah firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155
”Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Perjuangan ini adalah sunnatullah yang penuh dengan ujian. Kerana pejuang sejati yang sabar akan kekal berdiri walau dibadai taufan. Apa yang berlaku mutakhir ini juga mengingatkan kita dengan kebobrokan manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara. Sehingga hilang pertimbangan, rakus menyalahgunakan sisa jawatan, menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta.
Sabda Nabi s.a.w:َ
“Dan apabila dia bertengkar atau memusuhi, dia bertindak melampaui batas (dengan fitnah dan kejahatan).” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tapi, mereka tersilap percaturan. Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah. Sedangkan kita pejuang Melayu. Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah.
Dicabar—kita bangkit!
Ditekan—kita melompat tinggi!
Dipukul—kita berdiri lebih keras melawan!
Semakin diambil semakin membumbung, semakin dihimpit semakin melenting!
Kalau layar sudah dikembang,
Jangan gentar ombak lautan;
Kalau sabar sudah tak terkekang,
Lagi ditekan, lagi kuat melawan!
Maka dengan penuh rasa hormat dan takzimnya, saya mempersilakan Pengerusi Tetap UMNO, YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Haji Badruddin Amiruldin, untuk mengambil tempat bagi memulakan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2026. Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
