UMNO Mesti Jadi Peneraju, Bukan Penumpang Dalam Politik – Nur Arina

KUALA LUMPUR, 11 Sept – UMNO harus menjadi peneraju utama dalam landskap politik Malaysia dan tidak sekadar menjadi penumpang atau pelengkap dalam mana-mana bentuk gabungan pemerintahan pada masa hadapan.

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nur Arina Kamarulzaman berkata, kedudukan UMNO dalam landskap politik semasa perlu dilihat dengan fikiran terbuka, matang dan berpandangan jauh, mengambil kira realiti politik negara yang semakin kompleks serta memerlukan kerjasama antara parti.

“Kedudukan UMNO dalam landskap politik Malaysia hari ini perlu dilihat dengan fikiran yang terbuka, matang dan berpandangan jauh. Realitinya, politik Malaysia semakin kompleks dan pelbagai, dan kerjasama antara parti menjadi satu keperluan untuk membentuk kerajaan yang stabil serta berkesan.

“Namun… politik tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah kerusi. Yang lebih penting ialah keupayaan untuk memimpin, menyatukan kekuatan yang berbeza, menentukan hala tuju dan memikul tanggungjawab terhadap masa depan negara.

“Dalam konteks ini, UMNO menghormati setiap rakan gabungan dan mengiktiraf kepentingan kerjasama. Tetapi kerjasama tidak bermakna UMNO perlu kehilangan identiti, peranan kepimpinannya dan agenda UMNO. Di mana sahaja UMNO berada sama ada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini atau apa-apa bentuk gabungan pemerintahan pada masa hadapan UMNO mesti berada di barisan hadapan sebagai peneraju dan pemimpin, bukan sekadar penumpang atau pelengkap,” katanya.

Mengulas lanjut, Arina yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Padang Rengas menambah, tuntutan supaya UMNO memimpin negara bukan berpaksikan ego, dominasi atau perebutan jawatan, sebaliknya lahir daripada keyakinan terhadap pengalaman, kekuatan akar umbi, struktur organisasi dan kefahaman parti terhadap realiti masyarakat Malaysia.

“UMNO mesti memimpin negara. Ini bukan soal ego, dominasi atau perebutan jawatan, tetapi soal tanggungjawab dan keyakinan bahawa UMNO mempunyai pengalaman, kekuatan akar umbi, struktur organisasi serta kefahaman terhadap realiti masyarakat Malaysia untuk menyatukan kepelbagaian dan menentukan arah negara.

“Kepimpinan hari ini tidak boleh hanya bersandarkan sejarah. Sebagai generasi muda dalam UMNO, saya percaya kita mesti membuktikan bahawa UMNO mampu memimpin perubahan dan menjawab aspirasi generasi baharu daripada ekonomi dan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan, sehinggalah kepada pengukuhan institusi serta masa depan negara.

“Dalam mana-mana gabungan, UMNO tidak perlu menjadi pihak yang paling lantang, tetapi mesti menjadi pihak yang paling mampu menyatukan suara. Kepimpinan bukan tentang menguasai rakan, tetapi tentang menentukan arah, membina konsensus, mencari titik persamaan dan berani mengambil tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat,” jelasnya.

Dalam masa sama, Nur Arina berkata, kepimpinan sebenar bukan mengenai keupayaan menguasai rakan gabungan, tetapi keberanian menentukan arah, membina konsensus, mencari titik persamaan dan memikul tanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.

“Kita mahu UMNO menjadi jambatan yang menyatukan kepelbagaian politik Malaysia, di mana UMNO tegas mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama menghormati hak dan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada nostalgia masa lalu. Sejarah adalah kekuatan, tetapi masa depan memerlukan keberanian untuk berubah. UMNO mesti tampil sebagai parti yang lebih berdisiplin, kompeten, berintegriti dan dekat dengan rakyat,” jelasnya lagi.

Beliau berkata UMNO juga tidak boleh terus bergantung kepada nostalgia masa lalu kerana parti itu perlu berani melakukan perubahan bagi memastikan perjuangannya kekal relevan dengan tuntutan semasa.

“Matlamat kita jelas, UMNO bukan sekadar mahu berada dalam kerajaan, tetapi mesti memimpin kerajaan dan menentukan arah negara. Kita tidak mahu menjadi penumpang dalam perjalanan politik Malaysia.

“Kita mahu menjadi peneraju yang menyatukan kekuatan, membawa kestabilan, menjana kemakmuran dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Kita tidak mahu memimpin untuk mengulang masa lalu. Kita mahu memimpin untuk menentukan masa depan,” ujarnya. – UMNO Online

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO