Ucapan Perasmian Wanita, Pemuda, Puteri UMNO – Datuk Seri Mohamad Hasan
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Wanita UMNO,
Yang Berhormat Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,
Yang Berbahagia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Ketua Pergerakan Puteri UMNO,
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia,

Para Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang saya hormati sekalian,
1. Marilah kita memulakan perhimpunan kita pada tahun ini, dengan mensyukuri segala yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita.
2. Nikmat Kesihatan, kehidupan yang makmur, kesempatan untuk berjuang dan keikhlasan untuk berbakti pada nusa dan bangsa, semuanya adalah kerana dan atas keesaan Allah jua.
3. Sukacita saya juga mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk kesekian kalinya bagi menjayakan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.
4. Iltizam anda semua untuk perjuangan UMNO adalah sangat mulia.
5. Memakmurkan agama, memperjuangkan kepentingan bangsa dan memajukan tanah air telah menjadi suratan dalam kehidupan anda semua.
6. Tanpa sumbangsih anda semua, dan mereka yang terdahulu dari anda semua, maka UMNO tidak mungkin akan berkelangsungan demikian lama.
7. Insya’Allah, semoga pengorbanan, kesetiaan dan kesungguhan anda semua untuk UMNO itu akan menjadikan bangsa Melayu itu lebih baik. Islam lebih syumul dan Malaysia lebih makmur.
Para Perwakilan yang saya hormati,
8. Telah 8 tahun UMNO tergelincir dari persada kuasa. Mei 2018 adalah momen yang tidak mungkin akan kita semua dapat lupakan.
9. Ia bukan sahaja trajis tetapi juga menerbitkan rasa ketundukan dan mengajar kita semua rendah diri.
10. Tiada yang kekal pada mereka yang berkuasa. Tiada yang abadi dalam politik dan sebuah pemerintahan.
11. Semuanya akan menempuh kitaran zaman. Maka demikianlah yang sedang UMNO lalui.
12. Semenjak itu, UMNO telah melakukan banyak sekali usaha untuk merawat, memulih dan membangunkan semula kebingkasan politiknya.
13. Namun cabarannya menggunung dan luar biasa.
14. Sebelum 2018, UMNO tidak pernah sekali pun duduk di kerusi pembangkang di parlimen.
15. Ia telah terbiasa menjadi Kerajaan. Jadi bayangkan kecamukan yang UMNO hadapi bila ia tidak menjadi nakhoda Kerajaan.
16. Pelbagai formula telah UMNO terokai untuk kembali menjadi pelengkap kestabilan politik Malaysia.
17. Ia menyertai Kerajaan Perikatan Nasional pada Mac 2020.
18. Kemudian ia mengetuai Kerajaan Keluarga Malaysia pada Ogos 2021.
19. Dan pada November 2022, UMNO bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan hingga hari ini.
20. Semua penyertaan ini walau bagaimanapun UMNO itu tersingkir, ia adalah pelengkap yang penting untuk kestabilan negara.
21. Angkubah penting untuk politik yang stabil di Malaysia mestilah melibatkan UMNO.
22. Cabarannya ialah, UMNO bekerjasama dengan mereka yang telah menjadi seteru politiknya selama berdekad-dekad.
23. UMNO berdepan dengan pelbagai tomahan, tuduhan dan kecaman. UMDAP itu menjadi siulan yang sangat menyakitkan.
24. Namun UMNO terus kan jua, kerana tiada yang lebih strategik dari mempunyai peranan dalam Kerajaan, dari hanya menjadi pembangkang.
25. Kemudian saudara dan saudari sekalian, pelbagai PRK dan PRN berlaku dan UMNO terus bereksperimen dengan strategi politik sesuai semasa.
26. Ramai orang mengungkap pendirian UMNO semenjak 2018, sebagai suatu ‘enigma politik’.
27. Politik yang senantiasa misteri, kadang-kadang membingungkan dan menimbulkan banyak sekali teka-teki dari kejelasan.
28. UMNO pada mereka senantiasa licik. Arah koalisi, strategi parti dan pendekatan kepimpinan, kadang-kadang tidak boleh difahami dengan mudah.
29. Penegasan saya ialah, posisi ‘enigma politik’ ini berlaku hanya kerana dua sebab.
30. Pertama, semuanya menjurus kepada ‘survival UMNO’.

Saudara-saudari sekalian,
31. Semenjak 8 tahun lepas, UMNO adalah dalam ‘mod bertahan hidup’. (survival mode)
32. UMNO telah dan akan terus meneroka segala kemungkinan, merumus dan menilai segala ancaman, hanya untuk ‘survival politiknya’.
33. Jadi hentikan segala tohmahan terhadap UMNO. Kita tidak menikam sesiapa. Kita tidak khianat pada mana-mana pihak.
34. Kita hanya mengusahakan ikhtiar terbaik, untuk berkelangsungan dan berfungsi sebagai sebuah parti dan perjuangan.
35. Kita tidak membenci sesiapa atau memusuhi sesiapa. Kita hanya mahu UMNO ini bangkit dan bangun semula.
36. Akhirnya, yang ingin UMNO temui ialah, kebarangkalian yang terbaik untuk UMNO dan masa depannya.
37. Kedua. UMNO juga sangat menyedari bahawa ia tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH atau PN. Tidak Pas. Apatah lagi DAP.
38. Hayat UMNO tidak boleh kita sandarkan pada perhitungan parti lain, atau kekuatan mereka.
39. UMNO mesti berdikari. Membangunkan kekuatannya dengan cara dan strategi sendiri.
40. Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri.
41. Justeru, tanamlah dalam fikiran kita bahawa, selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh dari kepulihan.
42. Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai. Tetapi kerugian dalam waktu panjang itu, akan lebih memudaratkan UMNO.
43. Pergantungan kepada orang lain, adalah formula politik yang tempang. UMNO punya harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya. UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim.
44. UMNO perlu mengembalikan kekuatan kita sendiri, agar akhirnya, kita tidak perlu bergantung dengan orang lain untuk berkelangsungan.
Para Perwakilan yang saya muliakan,
45. Marilah kita menadah tangan, memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana atas izin dan rahmatNya, kita diberikan kemenangan di PRN Johor dan juga PRN Negeri Sembilan.
46. Alhamdulillah, PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan telah memberikan kita satu pengalaman yang amat berguna.
47. Apabila kita mempunyai calon yang sesuai, jentera yang bekerja secara tersusun, strategi yang tepat dan mesej yang jelas, rakyat, khususnya orang Melayu, boleh kembali memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada UMNO.
48. Kejayaan itu juga lahir daripada kerja berpasukan yang mantap, disiplin yang tinggi, tanpa sengketa dan sabotaj, serta mengutamakan kepentingan parti.
49. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua jentera parti UMNO dan Barisan Nasional yang bertungkuslumus memastikan calon-calon kita menang.
50. Dan saya mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz, dan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim, barisan Exco yang telah dilantik, dan semua calon kita yang berjaya memenangi kerusi masing-masing, di Johor dan Negeri Sembilan.
51. Kemenangan di Johor dan di Negeri Sembilan bagi saya, adalah titik penting kepada pemulihan dan kebangkitan semula UMNO.
52. Tetapi saya juga ingin mengingatkan para perwakilan semua bahawa, jangan kita lupa, bahawa hanya pada November lepas, kita tewas dengan teruk di Sabah.
53. Ada yang mengatakan ia adalah lembaran baru politik Melayu dan Malaysia.
54. Walau apapun, para perwakilan sekalian, dinamik politik dari tiga pilihan raya negeri yang lepas, memberikan kita beberapa petunjuk yang penting.
55. Telah muncul tanda-tanda pemulihan kepercayaan, kepada UMNO dan Barisan Nasional. Tetapi di Sabah, UMNO nampaknya semakin tersingkir dan terpencil.
56. Telah juga terjelma, di Johor dan Negeri Sembilan, keinginan bangsa Melayu ke arah kesatuan dan perpaduan.
57. Namun di Sabah, keutamaan pengundi ialah kepentingan Sabah untuk Sabah.
58. Telah terbit, dinamik kepercayaan terhadap UMNO di kalangan generasi muda di Johor dan Negeri Sembilan.
59. Di Sabah pula, generasi muda gemarkan jenama baru yang memperjuangkan kepentingan lokal.
60. Natijah dari semua kemenangan ini ialah, tiada sesuatu yang pasti dalam politik pasca moden Malaysia.
61. UMNO harus mengemudi momentum rumit sebegini dengan strategi yang berhikmah.
62. Yang jelas, persada politik Malaysia telah sangat terganggu, rumit dan ‘disrupted’. Semuanya telah menjadi semakin kacau dan sangat bercelaru.
63. Tiada kemenangan yang boleh menjadi petunjuk mutlak, tentang masa depan UMNO, dalam politik Malaysia di masa akan datang.
64. Semuanya bergantung kepada strategi unik, di setiap daerah politik yang UMNO bertanding.
65. Tiada juga strategi menyeluruh untuk semua keadaan. No one solution that fits all.
66. Walau bagaimanapun, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan, memberikan beberapa impetus yang penting.
67. Pertama, orang Melayu inginkan perwakilan politik Melayu Islam yang kuat. Bagaimana ia harus diterjemahkan terpulang lah kepada UMNO.
68. Maknanya, orang Melayu tidak peduli dengan formula politik kita. Bagi mereka, tidak perlu pelbagai koalisi demi koalisi. Atau perikatan itu dan pakatan ini.
69. Yang mereka berkehendak ialah, suara politik Melayu Islam itu dominan dan menguasai.
70. Struktur politik formal itu tidak penting. Yang penting ialah tiada pertindihan kepentingan Melayu.
71. Kedua, kesepaduan undi Melayu meyakinkan kita bahawa politik identiti itu akan terus menguasai persada politik Malaysia. Fenomena ini tidak hanya 13 terpakai di negeri jajaran Melayu atau koridor Melayu sahaja.
72. Maknanya, saudara-saudari sekalian, politik identiti sukar dipisahkan dengan sikap pengundi Melayu. Perkara itu juga terpakai kepada bukan Melayu.
73. Walau dimanapun, politik identiti adalah kelaziman yang tidak boleh di kesampingkan.
74. Identiti itu membawa kedekatan yang sukar di gambarkan. Ia mengikat dengan caranya tersendiri.
75. Walaupun pengundi sangat mementingkan isu-isu seperti sara hidup, pembasmian rasuah dan pengagihan kekayaan yang saksama, mereka akhirnya akan lebih cenderung mengundi berdasarkan identiti kaum.
76. Ketiga, isu-isu berkepentingan Melayu telah dan akan terus menjadi dominasi penting dalam politik Melayu.
77. Kepimpinan berdasarkan prestasi yang baik, dasar yang unggul dan khidmat yang cemerlang adalah ‘perhitungan kedua’ dalam minda pengundi Melayu.
78. Apa sahaja yang berkaitan Melayu itu akan terus menjadi domain terpenting dan utama.
79. Jika kita tidak mengurus domain ini dengan baik, kita akan dilihat mengabaikan kepentingan Melayu dan Islam.
80. Lihat sahaja bagaimana, UMNO cuba menjelaskan kerjasamanya dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
81. Tiada hujah, yang boleh meyakinkan majoriti konstituen Melayu, atau melunakkan pendirian mereka, untuk menerima kerjasama UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
82. Sebabnya ialah, telah tertanam dalam pemikiran orang Melayu bahawa, DAP itu tidak pernah bersetuju, dengan dasar-dasar diskriminasi positif untuk pribumi. Atau telah ada stigma bahawa, DAP itu anti Islam.
83. Walaupun Kerajaan Perpaduan ini, bukanlah tidak berprestasi.
84. Banyak dasar dan program yang baik untuk mengembangkan dan menumbuhkan ekonomi negara telah berjaya dilaksanakan.
85. Walaupun semasa negara kita berhadapan dengan kerumitan ekonomi dampak krisis geopolitik global.
86. Begitu juga dengan pelbagai pengagihan bantuan, komitmen memerangi rasuah dan ketirisan serta usaha melaksanakan pembaharuan di pelbagai dimensi dalam pelbagai sektor.
87. Semuanya UMNO sokong sebagai tanggungjawab kolektif dalam Kerajaan.
88. Namun semua ini tidak dilihat sebagai lebih Melayu. Selagi UMNO dilihat bersama dengan DAP, semuanya akan menjadikan Kerajaan Perpaduan itu tidak mewakili Melayu dan kepentingannya.

Rakan-rakan seperjuangan;
89. Mengambil iktibar dari kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan, serta kekalahan di Sabah, UMNO senantiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kelangsungan perjuangan bangsa dan agama.
90. Tidak pernah sekalipun UMNO menutup ruang untuk kesatuan bangsa Melayu dilaksanakan rentas parti dan ideologi.
91. Percayalah, jika sesiapa juga yang datang kepada UMNO dan menggagaskan kesatuan Melayu, UMNO akan menyambutnya dengan berlapang dada.
92. Tetapi kerjasama itu mestilah ada kejelasannya.
93. Pertama, ia mestilah dianjurkan dengan niat yang ikhlas, bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu Islam. Bukan berjeda dan terputus-putus. Bukan bermusim dan bukan sama sekali untuk mengambil kesempatan atas kekuatan atau kelemahan UMNO.
94. UMNO pernah dipermainkan dalam politik perpaduan Melayu Islam ini.
95. Kita tidak akan lupa pengalaman pahit itu. Justeru UMNO tidak akan membiarkan ia diperbudakkan lagi.
96. Kerana itu UMNO amat berhati-hati. UMNO tidak mahu pengalaman buruk itu berulang lagi.
97. Pendirian UMNO sangat jelas. Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, insya’Allah.
98. Justeru, penyatuan politik Melayu itu boleh berlaku pada bila-bila masa, dalam apa jua keadaan.
99. Kedua, ia mesti bersandarkan visi ‘Rumah Bangsa’ yang UMNO pelopori.
100.Apa sahaja kerjasama politik bangsa Melayu yang tidak dimeterai dalam semangat dan aspirasi ‘Rumah Bangsa’, tidak akan menguntungkan UMNO.
101.Kerjasama ini mesti dinaungi oleh UMNO. Ia mesti menjadikan UMNO itu asas, tiang seri dan prinsip utuh yang mengikat semua kepada kepentingan Melayu.
102.UMNO lah yang telah membidani kelahiran nasionalisme Melayu, dan ia akan terus menjadi payung yang memayungi kesatuan bangsa Melayu untuk selamanya.
103.Justeru janganlah mempunyai prasangka terhadap visi “Rumah Bangsa” hanya kerana ia diilhamkan oleh UMNO.
104.Ketiga, apa juga kerjasama politik yang diusahakan dalam konteks perpaduan Melayu Islam, mestilah luwes atau flexible.
105.UMNO tidak memerlukan perikatan-perikatan politik baru.
106.UMNO akan kekal dengan Barisan Nasional, kini dulu dan selamanya.
107.Segala kerjasama, mestilah luwes. Persefahaman dan kerjasama yang longgar, bukan perjanjian yang mengikat.
108.Kita tidak suka diikat, juga mengikat. UMNO mahukan kebebasan untuk bertindak sesuai dengan perhitungan politiknya.
109.Keempat, UMNO tidak suka terhutang budi, apatah lagi berharap dengan naungan parti lain, untuk kelangsungan sokongan Melayunya.
110.UMNO telah dan akan terus membangunkan kekuatan sendiri seperti sebelumnya.
111.Kepada mereka yang telah membantu UMNO secara langsung atau tidak langsung, kita zahirkan ucapan terima kasih.
112.Tetapi selama mana UMNO harus berharap kepada bantuan dan budi baik rakan politiknya?
113.Parti ini mempunyai pengalaman tersendiri, dan ia akan memanfaatkan pengalaman tersebut untuk membina 19 ketumbukan sokongan yang ‘solid’ dan ampuh di kalangan bangsa Melayu.
114.Mengharapkan ihsan dan bantuan, bukan sesekali fikrah UMNO.
115.Fikrah UMNO ialah, ia yang seharusnya memberi perlindungan dan naungan kepada bangsa Melayu, insyallah.
Para perwakilan UMNO yang saya kasihi,
116.Mengecapi sedikit kejayaan dalam politik, haruslah selari dengan pendirian untuk senantiasa bertawaduk.
117. Merendah diri, tidak angkuh dan bertindak secara insani adalah sikap yang sangat terpuji. 118.Ia adalah sifat bangsa Melayu dan nilai yang Islami.
119. Janganlah kita terpesona dengan kemenangan yang sedikit, sedangkan cabaran yang lebih besar dan rumit sedang menanti.
120. Pada PRN Johor 2022 dan Melaka 2021, UMNO juga menang. Menang besar. Kita menguasai dua pertiga kedua-dua dewan.
121. Namun UMNO tewas dengan teruk sekali pada PRU 2022. Di Melaka, kita tidak menang satu kerusi Parlimen pun.
122. Pada PRN serentak di enam negeri lain pada 2023, kita tewas dengan teruk sekali. Ada negeri yang kita tidak menang barang satu kerusi pun.
123. Apa sebenarnya yang Allah ingin uji kita dari semua itu?
124. Sesungguhnya semua itu adalah rahsia Allah jua. Tetapi Allah juga memberikan kita akal. Untuk berfikir, menginsafi dan berikhtiar.
125. Jika kita berikhtiar untuk berfikir, maka haruslah kita menerima beberapa kenyataan;
126. Pertama. Tiada kesetiaan dalam sikap pengundi. Yang ada hanyalah kepentingan.
127. Trend pengundian semenjak 2018, menunjukkan bahawa sikap pengundi adalah sangat ‘erratic’. Sukar sekali untuk diramal.
128. Mereka hanya akan memilih berdasarkan kepentingan. Sama sekali tiada kesetiaan, hanya kepentingan.
129. Jika mereka merasa kepentingan mereka itu tergugat, mereka akan meninggalkan kita. Begitu juga sebaliknya.
130. UMNO telah mengalami penolakan besar-besaran bangsa Melayu terhadapnya sebelum ini.
131. Justeru, jangan sesekali mudah terpedaya, dengan indikasi bahawa, sokongan Melayu itu telah kembali. Semuanya hanya bersifat sementara. 132.Kedua. Kerjasama politik, dengan pelbagai jenama baru, hanya dianggap oleh pengundi sebagai bahan untuk mereka bereksperimen.
133. Dahulu mereka teruja dengan Pakatan Rakyat, maka mereka berduyun-duyun mula menyokong. 134.Kemudian mereka menghumban kita ke dalam gaung untuk mengundi PN dan PH.
135.Jadi kita ini akan terus menjadi ‘subject’ dan ‘object’ yang akan mereka gunakan untuk berekperimentasi.
136. Oleh yang demikian, hentikan kecenderungan untuk membaca kejayaan dari perspektif yang sempit dan terkepung.
137. Tanam dalam pemikiran kita bahawa, kedinamikan politik menuntut kita untuk terus inovatif dan meneroka pelbagai strategi lautan biru.
138. Jangan sesekali terperuk dengan strategi lautan merah dan bersaing dalam lanskap yang padat dengan pesaing.
139. Ketiga, sikap pengundi muda adalah apa yang saya gelar ‘wild card electorate’.
140. Sikap mereka ialah mahu kita menunjukkan kepada mereka, di mana mereka akan beroleh manfaat dan laba material.
141. Keutamaan mereka ialah kos kehidupan, inflasi, pekerjaaan dengan pendapatan munasabah, kemampuan untuk melancong dan pemilikan perumahan.
142. Mereka juga mahukan peruntukan lebih besar untuk pendidikan rentas peringkat, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan institusi keluarga.
143. Elemen ideologi adalah ‘secondary’ walaupun identiti adalah penting untuk mereka.
144. Yang pasti, kebanyakan mereka menilai dasar, berdasarkan manfaat material yang akan mereka dapat.
145. Identiti dan kepentingan material adalah seiringan pada mereka.
146. Sesungguhnya inilah cabaran yang akan terus kita hadapi, pilihanraya demi pilihanraya.
147. Keempat, cabaran dalam kemenangan adalah lebih rumit dan lebih besar dari menerima kekalahan.
148. Kita akan terus di uji prestasi kita. Kita akan menjadi sasaran kritikan, dan bersedialah, atas segala cemuhan dan teguran, kerana ‘wild card electorate’ itu adalah mereka yang sangat kritikal.
149. Ingat, semua warga Malaysia sekarang adalah wartawan. Setiap perkara akan mereka rakam, komen dan tularkan.
150. Setiap isu akan mereka korek dan dedahkan. Mereka sangat brutal dan demikianlah realitinya kita berpolitik dengan ‘generasi asli digital’.
151. Justeru, janganlah kita terlalu yakin, kita mempunyai formula kemenangan yang tuntas, hanya kerana beberapa parti politik teras Melayu bekerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain.
152. Apatah lagi bersikap sombong dan mendabik dada, bahawa kita akan menguasai itu dan ini dalam sedikit masa lagi.
153. Orang Melayu sangat tidak gemar dengan keangkuhan.
154. Bangsa kita tidak suka mereka yang keterlaluan dan bermegah-megah.
155. Bagi mereka kemenangan yang mereka berikan ada maharnya.
156. Jika kita gagal dalam amanah yang mereka berikan, mereka tidak akan bertangguh dalam talak mereka terhadap kita.

Para Perwakilan sekalian,
157. Terbukanya ruang kerjasama pelbagai parti Melayu dalam pilihanraya, haruslah jangan menyinggung rakanrakan kita, dari pelbagai bangsa lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
158. Jangan sesekali kita memikirkan konstituen kita hanya Melayu.
159. Tindakan dan perilaku kita, jangan sesekali membuka ruang kerisauan, di kalangan rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.
160. Ingat, bila politik Malaysia ini ‘chaotic’ dan kacau bilau, kita memerlukan keyakinan bukan Melayu dan parti Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan.
161. Mereka sekarang telah menjadi kuasa penentu. Era kita menganggap mereka adalah deposit simpanan tetap telah tinggal menjadi kenangan.
162. Justeru, ramai dari kalangan bukan Melayu dan rakan di Sabah dan Sarawak, yang bimbang ke mana Malaysia ini akan terarah, apabila politik Melayu Islam itu menjadi domain yang terlihat.
163. Penegasan saya ialah, UMNO akan selamanya ‘centrist’. Ideologi kita ialah ‘sentrisme’.
164. Sekali lagi saya ulang, UMNO adalah golongan dan kelompok tengah dan akan selamanya menyusuri jalan pertengahan. 165.Kita tidak akan condong ke kiri atau ke kanan. Iltizam kita ialah mengimbangi antara idea dasar kiri dan kanan, sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat.
166. Spektrum pendirian UMNO sangat jelas. Kita telah di uji berpuluh-puluh tahun dengan mengurus serta mentadbir negara dengan sikap, dasar, pendirian dan keutamaan yang sederhana, walaupun sebagai parti kebangsaan.
167. Justeru, sesiapa sahaja yang ingin bekerjasama dengan UMNO, mesti menerima kesederhanaan dan sikap menengah UMNO.
168. Anda tidak boleh memaksa ideologi konservatif atau radikal anda ke atas UMNO.
169.Bangsa Melayu pula akan terus menjadi bangsa keindukan yang menyediakan ruang dan peluang untuk semua.
170. Kami akan memastikan tanahair ini adalah tanahair untuk semua, makmur dan diuruskan dengan teliti, selari dengan apa yang terpasak dalam Perlembagaan Persekutuan.
171. Kepada rakan-rakan bukan Melayu dan bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
172. Ikrar UMNO ialah Malaysia yang adil dan bersatupadu.
173. Politik Melayu akan kami uruskan secara matang dan sama sekali tidak akan menjadi beban dan ancaman, mahupun penafian hak dan kepentingan kalian.
174. Insya’Allah, Malaysia yang kita cita-citakan, ialah Malaysia yang aman sentosa dan saling melengkapi antara semua kaum jua.
Para Perwakilan sekalian,
175. Salah satu sebab kenapa generasi muda menghindari politik ialah kerana budaya politik di Malaysia ini telah menjadi semakin toksik.
176. Sarat dengan maki hamun, cercaan dan penuturan kata nista.
177. Ramai yang menggunakan sentimen Melayu dan Islam sewenangnya tanpa hikmah. Saudara dan Saudari sekalian, negara ini sangat merindukan ‘politik budiman’ generasi dahulu.
178. Kritikan disuarakan dengan cermat. Teguran dibuat dengan seribu hikmah. Perbezaan diuruskan dengan sopan.
179. Mari kita lihat dan ambil pengajaran dari budaya dan politik di Sarawak. Semuanya teratur, kemas dan matang.
180. Perbezaan diuruskan dengan perbincangan dan sopan.
181. Kadang-kadang kita lupa bahawa, Sarawak adalah model politik yang benar-benar menampilkan fabrik kepelbagaian Malaysia.
182. Banyak yang kita boleh pelajari dari cerita politik Sarawak dan bagaimana mereka menghindari politik toksik yang memualkan.
Para Perwakilan yang dihormati sekalian,
183. Nasionalis UMNO tidak boleh terjebak dalam krisis fitnah dan cercaan. Kita mesti menjadi parti yang bertanggungjawab.
184. Kita mesti memerangi segala berita palsu dan fitnah terhadap UMNO, tetapi jangan sesekali terlibat dalam penyebaran fitnah dan berita tidak sahih tentang lawan kita.
185. Cara politik kita mestilah beretika. Ramai sekali rakyat di luar sana yang menjadi mangsa maklumat yang tidak betul, dan mereka terpaksa membayar harga yang sangat mahal untuk memulihkan reputasi mereka.
186. Fitnah dan misinformasi adalah senjata yang sangat berbahaya. Jika kita bermain dengannya, ia akan kembali menghantui kita akhirnya. Para Perwakilan yang saya hormati sekalian,
187. Saya ingin mengakhiri ucapan saya pada malam ini dengan mengingatkan diri saya dan semua perwakilan. Bahawa kemenangan manis di Johor, Negeri Sembilan dan insya’Allah Melaka adalah nikmat dari Allah jua.
188. Demikian juga kekalahan kita di Sabah.

189. Di sebalik semua itu ada hikmah dan pengajarannya. Justeru, janganlah kita kufur akan nikmat Allah tersebut.
190. Jadikan semua itu petanda, bahawa UMNO telah mula beransur pulih, dan mula dipercayai namun akan terus juga diuji.
191. Anggaplah semua itu, peluang kedua kepada UMNO yang diberikan oleh orang Melayu kepada kita.
192. Jadi janganlah kita sia-siakan kepercayaan ini.
193. Kita mesti kembali bukan sahaja menguasai wilayah Selatan Malaysia tetapi juga seluruh Malaysia.
194. Lalu bekerja keras itu wajib. Kita tidak boleh mengharapkan keajaiban dalam sebuah cita-cita dan harapan.
195. Ingatlah, UMNO terlalu besar untuk kehilangan harapan. Dan kepada sekelompok bangsa Melayu pula, UMNO itu terlalu berharga untuk mereka kehilangan hati terhadapnya.
196. Menjadi parti terkuat, memenangi pilihanraya, membentuk Kerajaan yang stabil, dan memimpin Malaysia dengan berprestasi, adalah aspirasi kita untuk bangsa.
197. Semoga kita terus menjadikan UMNO ini parti yang sarat dengan kejujuran, kepedulian dan kerja nyata, yang mesti diikhtiarkan dengan semangat, dengan keringat, dengan kudrat, dan dengan muafakat.
198. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini, menyeru semua Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang hadir di perhimpunan malam ini. Mari kita turun beramai-ramai dan membantu rakan-rakan seperjuangan kita di Melaka pula, untuk menghadapi pilihan raya negeri Melaka yang bakal diadakan pada bila-bila masa saja.
199. Semoga UMNO / Barisan Nasional akan dapat mengekalkan momentum kejayaan di peringkat negerinegeri, dan terus membawa semangat dan Gelombang Biru ini ke pilihan raya umum ke-16 nanti, insya’Allah.
200.Saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrohim, merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026.
201.Selamat bersidang.
202.Hidup UMNO! (X3)
203. Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian terima kasih.
