PAU 2026: Berani Berubah, Berani Tentukan Arah

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bukan sekadar perhimpunan tahunan sebuah parti politik. Ia adalah medan penting untuk kita bermuhasabah, menilai perjalanan perjuangan dan menentukan dengan lebih jelas ke mana UMNO mahu dibawa dalam mendepani landskap politik negara yang semakin mencabar.

Sebagai Exco Wanita UMNO Malaysia, Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, saya melihat satu perkara yang cukup penting iaitu suara akar umbi mesti terus menjadi kompas perjuangan UMNO.

Akar umbi adalah mereka yang berada paling hampir dengan rakyat. Mereka mendengar keluhan rakyat, berhadapan dengan perubahan sentimen pengundi dan menjadi benteng parti ketika susah mahupun senang.

Justeru, pandangan mereka tidak seharusnya hanya didengar ketika musim persidangan atau pilihan raya, tetapi perlu diterjemahkan dalam dasar, strategi dan keputusan parti.

PAU 2026 juga perlu memberikan kejelasan tentang hala tuju politik UMNO. Ahli di bawah mahu memahami ke mana parti ini sedang menuju, apakah pendirian kita dalam kerjasama politik dan bagaimana UMNO mahu mempersiapkan kekuatan sendiri menuju PRU akan datang.

Kerjasama politik boleh menjadi suatu keperluan berdasarkan keadaan dan kepentingan negara, tetapi dalam apa juga percaturan, identiti, prinsip, maruah dan perjuangan UMNO tidak boleh menjadi kabur.

Pada masa yang sama, UMNO perlu terus memperkukuhkan keadilan dan penghargaan dalam parti. Mereka yang bekerja di cawangan dan bahagian, yang mempertahankan parti ketika diuji serta yang sentiasa bersama rakyat perlu diberikan pengiktirafan dan ruang sewajarnya.

Pemilihan kepimpinan dan calon pada masa hadapan harus mengambil kira merit, prestasi, penerimaan rakyat, kesetiaan serta rekod kerja di lapangan.

Jangan sampai mereka yang bekerja bertahun-tahun akhirnya hanya menjadi penonton apabila tiba masanya untuk diberikan peluang.

Saya juga mahu melihat Wanita UMNO bukan sekadar dianggap sebagai jentera pilihan raya, tetapi diberikan ruang yang lebih besar dalam proses membuat keputusan, kepimpinan dan pencalonan.

Wanita UMNO khususnya telah lama membuktikan bahawa kita bukan hanya mampu menggerakkan jentera, malah mampu memimpin, membawa suara rakyat dan memikul amanah dengan baik.

 

Lebih daripada segala percaturan politik, UMNO mesti kembali memperkukuhkan peranannya sebagai parti yang menawarkan penyelesaian kepada permasalahan rakyat. Kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak, perumahan, ekonomi keluarga dan kesejahteraan masyarakat adalah isu yang dekat di hati rakyat.

Rakyat mahu melihat UMNO bukan sekadar bercakap tentang politik, tetapi hadir, mendengar, memahami dan menyelesaikan masalah mereka.

Dalam memperkukuhkan kesatuan parti pula, kita harus bersedia menerima teguran dan pandangan yang berbeza. Kesetiaan kepada parti tidak bermaksud kita harus berdiam diri.

Teguran yang ikhlas daripada akar umbi bukan ancaman kepada kepimpinan, sebaliknya tanda bahawa masih ada ahli yang sayang dan mahu melihat UMNO terus kuat.

Aspirasi terbesar akar umbi hari ini ialah kepastian dan keyakinan. Kepastian tentang hala tuju parti dan keyakinan bahawa suara mereka benar-benar didengar serta perjuangan mereka dihargai.

UMNO tidak pernah kekurangan ahli yang setia.

UMNO tidak pernah kekurangan jentera yang sanggup bekerja.

UMNO juga tidak pernah ketandusan pemimpin dan generasi pelapis yang berpotensi.

Apa yang kita perlukan ialah hala tuju yang jelas, keberanian membuat keputusan, keadilan dalam memberikan peluang dan kesungguhan mengembalikan keyakinan rakyat.

Jadikan PAU 2026 sebagai titik untuk kita kembali memperkukuhkan rumah perjuangan ini.

Dengar suara akar umbi.
Hargai mereka yang bekerja.
Berikan peluang kepada yang layak.
Perjelaskan hala tuju.
Perkukuhkan kesatuan… dan kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

Kerana akhirnya, kekuatan UMNO bukan hanya terletak pada siapa yang berada di atas pentas kepimpinan, tetapi pada ribuan akar umbi yang masih setia berdiri, bekerja dan mempertahankan perjuangan di bawah.

Haslinda Salleh
Exco Wanita UMNO Malaysia
Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor
Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO