PAU 2026: Suara Akar Umbi, Harapan & Masa Depan

SETIAP kali kita menyambut Hari Kebangsaan, kita bukan sekadar meraikan sebuah tarikh dalam kalendar. Kita sebenarnya sedang mengenang sebuah perjalanan panjang bangsa yang bangkit daripada penjajahan, membina kesatuan dan akhirnya mencapai kemerdekaan.

Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini tidak hadir dengan mudah. Ia dibina atas keberanian, pengorbanan dan kebijaksanaan generasi terdahulu. Dalam sejarah perjuangan tersebut, UMNO mempunyai tempat yang amat besar bermula kebangkitan menentang Malayan Union, penyatuan orang Melayu melalui gerakan politik yang tersusun, sehinggalah kepada perjuangan mencapai kemerdekaan, UMNO menjadi antara wadah utama yang membawa suara orang Melayu ke meja rundingan.

Nama-nama seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan ramai lagi bukan sekadar nama dalam buku sejarah. Mereka adalah generasi yang memahami bahawa perjuangan politik bukan semata-mata tentang kuasa, tetapi tentang amanah, masa depan bangsa dan pembinaan sebuah negara membawa perjuangan ke arah kemerdekaan melalui pendekatan rundingan dan kerjasama antara kaum. Kemerdekaan akhirnya diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.

Daripada generasi ke generasi, perjuangan UMNO terus melalui pelbagai zaman. Ada zaman kita berada di puncak kejayaan. Ada zaman kita diuji dengan kekalahan pada 2018 akibat fitnah dan pembohongan pembangkang. Ada masa kita menjadi kerajaan yang dominan dengan 2/3 majoriti, dan ada masa kita perlu berdepan dengan hakikat bahawa rakyat mahukan perubahan. Namun sejarah mengajar kita satu perkara penting bahawa kalah tidak bermakna kalah selamanya dan yang menang sekarang tidak bermakna menang dan kekal selamanya kerana rakyat memerhati dan menilai maka rakyat jugalah yang akan menurunkan kerajaan dan pemimpin yang hanya tahu berbicara kosong dan berjanji palsu penyedap halwa telinga tetapi tiada hasil.

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada 9-12 September ini, tentunya inilah masa untuk melihat kembali perjalanan tersebut dengan hati yang terbuka.

Satu, UMNO perlu kekal menjadi payung Melayu. UMNO ditubuhkan atas kesedaran bahawa orang Melayu perlu bersatu dan mempunyai wadah politik yang mampu memperjuangkan kepentingan Melayu. Maka, UMNO mesti terus mempertahankan kedudukannya sebagai payung kepada orang Melayu. Namun, konteks masa kini dalam menjaga Melayu, UMNO perlu menjadi jaguh memperjuangkan kehendak generasi anak muda Melayu seperti menambah peluang pekerjaan dengan kadar bayaran setimpal, mencari jalan agak kadar miskin bandar bagi orang orang Melayu dapat dikawal dan dinaikkan taraf seperti penyediaan kemudahan pinjaman atau geran perniagaan, memberi ransangan kewangan kepada peniaga Melayu sedia ada dan sebagainya. Kenapa perlu bimbang, ini tanah air kita, kita yang patut corakkan kekayaan setiap daripada kita semua.

Kedua, perhebatkan agensi seperti MARA dalam memberi pendidikan berkualiti kepada anak bangsa. Apabila orang-orang Melayu cerdik pandai dalam semua bidang maka kita tidak perlu mengharapkan sesiapa dalam pembinaan negara yang tercinta. Mereka mahu rumah yang mampu dimiliki. Sebagai kerajaan sikit masa lagi, kawallah harga rumah terutama di bandar-bandar besar agar orang Melayu tidak dipinggirkan takut lama kelamaan aset strategik di bandar-bandar besar habis dibolot oleh bukan Melayu.

Menjelang PRU akan datang yang khabarnya tidak lama lagi, satu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh UMNO ialah soal calon. Kita perlu berani mengakui bahawa landskap politik sudah berubah.

Pengundi hari ini, khususnya Gen-Z, lebih terdedah kepada maklumat, kritikal dan tidak semestinya terikat dengan parti. Mereka menilai hasil, bukan sekadar janji iaitu mahu pemimpin yang turun padang, memahami isu pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, teknologi, perumahan dan masa depan mereka.

Justeru, UMNO perlu berani menampilkan muka baharu yang segar, berpendidikan, berkemahiran, berintegriti dan mampu bekerja. Calon PRU mesti dipilih berdasarkan siapa yang “winnable, workable dan credible”, bukan semata-mata populariti atau senioriti. Yang lama adalah akar, yang baharu adalah pucuk iaitu kedua-duanya penting untuk memastikan UMNO terus kuat dan relevan.

Kembalikan kegemilangan UMNO, pertahankan maruah pemimpin dan parti. Jangan biarkan UMNO terus dibuli atau dihujani tohmahan tanpa pembelaan. UMNO mesti berani bersuara, mempertahankan maruah dan membuat keputusan tegas demi masa depan parti.

Justeru, PAU bukan sekadar perhimpunan tahunan. Ia adalah ruang untuk kita bermuhasabah dengan berani mengakui kelemahan, menghargai kekuatan tanpa terlalu selesa, dan merangka masa depan tanpa terikat pada nostalgia masa lalu.

Kita harus bertanya:
Apakah UMNO 10 atau 20 tahun akan datang?
Siapakah generasi yang akan memimpin parti?
Bagaimanakah kita mahu memastikan anak muda Melayu terus melihat UMNO sebagai wadah perjuangan mereka?
Bagaimanakah kita mahu memastikan UMNO terus menjadi parti yang diyakini rakyat?

Tentunya jawapan akan dapat dituai melalui persidangan ini apabila Presiden UMNO atau Timbalan Presiden UMNO melontarkan idea.
Ia adalah tanggungjawab seluruh keluarga besar UMNO iaitu menyambung perjuangan, bukan memutuskan sejarah.

Sempena bulan kemerdekaan, kita mengingati generasi terdahulu yang berjuang dalam serba kekurangan, tanpa media sosial dan teknologi pantas. Namun mereka memiliki keyakinan bahawa perjuangan mereka lebih besar daripada diri sendiri. Semangat itulah yang perlu kita hidupkan kembali.

Kita mahu UMNO dihormati kerana sejarahnya, tetapi tidak terperangkap dalam sejarah; menghargai orang lama, tetapi memberi ruang kepada orang baharu; mempertahankan Melayu, tetapi memahami realiti Malaysia; berakar kukuh, namun berani melangkah ke hadapan.

Perjuangan Datuk Onn adalah perjuangan menyatukan bangsa. Perjuangan Tunku Abdul Rahman adalah perjuangan mencapai kemerdekaan. Perjuangan generasi selepas mereka adalah membangunkan negara.

Dan perjuangan generasi kita pula ialah memastikan Malaysia terus stabil, Melayu terus kuat dan UMNO terus relevan dalam menghadapi zaman yang jauh berbeza.
Menjelang PAU, tentunya harapan untuk bersama kembali kepada asas perjuangan. Lebih banyak bercakap tentang rakyat daripada jawatan, lebih banyak tentang masa depan daripada masa lalu, lebih banyak tentang kerja daripada populariti, dan lebih banyak memberi ruang kepada mereka yang benar-benar mahu berkhidmat.

Kita mahu melihat gandingan otai dan muka baharu, pengalaman dan ilmu, tradisi dan inovasi, akar umbi dan generasi digital.

Untuk PRU akan datang, berilah peluang kepada mereka yang mampu bekerja, berintegriti, berilmu dan mampu membawa wajah UMNO yang lebih segar kepada rakyat.

UMNO kini kembali mendapat kepercayaan rakyat, dengan gelombang biru di Johor, Negeri Sembilan dan, insya-Allah, Melaka. Jangan sia-siakan kepercayaan rakyat dan lakukan yang terbaik … selebihnya berserah kepada Allah SWT.

Hidup Melayu,
Hidup UMNO,
Selamat Bersidang!


Oleh: Dr Aiman Ja’apar
AJK UMNO Bahagian Gombak

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO