Jangan Hukum KKDW, Jelaskan Ke Mana Pergi Bajet
Polemik mengenai peruntukan projek jalan luar bandar KKDW dan kenyataan beberapa pihak termasuk Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Munim.
Saya fikir kita perlu berhenti menjadikan perkara serius berkaitan pembangunan luar bandar sebagai pertandingan siapa paling pandai mengeluarkan soundbite.
Kamil menggunakan ungkapan “besar pasak daripada tiang” dan “jahanam negara macam ini” apabila mengulas isu berkenaan.
Sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, saya mengharapkan beliau mempunyai akses kepada gambaran yang jauh lebih lengkap sebelum menjatuhkan hukuman sedemikian terhadap sebuah kementerian Kerajaan Persekutuan.
Soalan saya mudah: adakah angka yang disebut itu benar-benar bermaksud KKDW berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan, atau ia turut merangkumi komitmen kontrak dan tuntutan projek yang telah diluluskan serta dibawa daripada tahun sebelumnya?
Ini perbezaan yang sangat besar.
KKDW telah menjelaskan bahawa projek-projek tertentu mempunyai komitmen kontrak sejak 2019 hingga 2021, pelaksanaannya terjejas ketika COVID-19 dan apabila kerja diteruskan, tuntutan pembayaran turut dibawa ke tahun berikutnya. KKDW juga menegaskan bahawa sistem kewangan kerajaan dan iGFMAS tidak membenarkan kementerian sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan tanpa butiran serta peruntukan yang diluluskan. 
Maka jangan sekadar tunjuk kepada rakyat:
2023 — RM1.1 bilion lawan RM1.8 bilion.
2024 — RM1.3 bilion lawan RM2.0 bilion.
2025 — RM1.6 bilion lawan RM2.3 bilion.
Angka itu memang terdapat dalam kenyataan rasmi MOF.
Tetapi berikan sekali cerita di belakang angka tersebut.
Berapa daripada jumlah itu merupakan komitmen projek yang telah mendapat kelulusan kerajaan sebelumnya?
Berapa merupakan tuntutan kerja yang telah siap atau sedang dilaksanakan?
Berapa pula komitmen yang dibawa daripada tempoh COVID-19?
Dan kalau benar berlaku perbelanjaan tanpa kelulusan atau pelanggaran tatacara kewangan, nyatakan secara jelas projek mana, siapa yang meluluskan dan peraturan mana yang telah dilanggar.
Jangan biarkan istilah “terlebih belanja” mencipta persepsi seolah-olah wang dibelanjakan sesuka hati.
Zahid mempertahankan siapa sebenarnya?
Dalam isu ini saya memberikan kredit kepada Menteri KKDW merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau memilih untuk bersuara.
Beliau bukan mempertahankan angka di atas kertas semata-mata.
Di hujung rantaian pembayaran ini ada kontraktor, subkontraktor, pembekal, pekerja dan keluarga mereka. Lebih penting lagi, di hujung projek tersebut ada masyarakat luar bandar yang menunggu jalan dan kemudahan asas.
Apabila kerja kerajaan telah dilaksanakan, kontraktor bukan bank kepada kerajaan.
Mereka perlu dibayar.
MOF sendiri mengakui terdapat tunggakan pembayaran kepada kontraktor dan menyatakan RM300 juta telah diluluskan bagi membantu menyelesaikannya. MOF juga sedang mencari penjimatan kementerian lain untuk menampung komitmen berkenaan.
Jadi persoalannya bukan khayalan. Memang ada pembayaran yang perlu diselesaikan.
Pada masa yang sama, terdapat percanggahan yang wajar diperjelaskan: MOF menyifatkan RM300 juta itu sebagai “peruntukan tambahan”, manakala pihak KKDW mengatakan ia bukan peruntukan tambahan baharu tetapi peruntukan yang sewajarnya disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja.
Saya fikir perkara seperti ini lebih baik dijawab dengan dokumen, tarikh kelulusan dan pecahan angka, bukan perang kenyataan.
Kepada Kamil: jangan politikkan akaun kerajaan secara separuh masak
Saya menghormati peranan Muhammad Kamil sebagai pemimpin politik muda.
Tetapi kedudukan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan membawa tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar menghasilkan satu ayat yang sedap menjadi tajuk berita.
Kalau benar KKDW telah melakukan sesuatu yang salah, tunjukkan kesalahannya.
Kalau projek itu tidak mendapat kelulusan, nyatakan.
Kalau terdapat pelanggaran Arahan Perbendaharaan, nyatakan.
Tetapi kalau yang berlaku sebenarnya ialah komitmen projek kerajaan yang telah diluluskan, kerja telah berjalan dan pembayaran merentasi beberapa tahun kewangan, jangan gambarkan kepada rakyat seolah-olah KKDW mengambil wang dan berbelanja sesuka hati.
Itu bukan sahaja tidak adil kepada KKDW, malah memberikan gambaran buruk terhadap keseluruhan sistem pengurusan kewangan kerajaan.
Saya juga tidak mahu polemik ini menjadi pergaduhan antara MOF dengan KKDW.
Kedua-duanya berada dalam kerajaan yang sama.
Kalau dua kementerian mempunyai tafsiran berbeza terhadap angka yang sama, bentangkan rekonsiliasi akaun dan fakta kepada rakyat.
Itulah cara kerajaan yang bertanggungjawab menyelesaikan persoalan.
Dan saya percaya tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan perkara ini perlu dilihat daripada sudut tersebut — memastikan projek pembangunan luar bandar yang telah dilaksanakan mempunyai dana untuk dibayar dan rakyat desa tidak menjadi mangsa kepada masalah pentadbiran serta aliran peruntukan.
Jangan kerana mahu mempertahankan satu jadual, kita terlupa mempertahankan orang yang sudah menyiapkan kerja.
Jalan sudah dibina. Kerja sudah dibuat. Komitmen kerajaan sudah wujud. Maka selesaikan pembayaran.
Itu lebih penting daripada menentukan siapa menang dalam perang kenyataan.

Mohd Farhan Ahmad
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena
