Hari Kebangsaan: Kerajaan Perpaduan Pastikan Dasar, Peruntukan Berpaksikan Keperluan Rakyat

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar memperingati sejarah kemerdekaan negara, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan membina masa depan Malaysia yang lebih baik untuk seluruh rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Perpaduan terus komited memastikan setiap dasar, peruntukan dan keputusan yang dibuat mengambil kira keperluan sebenar rakyat serta memberi manfaat yang dapat dirasai secara langsung.

“Petang tadi, saya bersama-sama barisan Jemaah Menteri mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026.

“Alhamdulillah, beberapa pengumuman yang disampaikan hari ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk terus mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan bantuan serta kemudahan yang diberikan benar-benar menyentuh keperluan semasa masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden UMNO berkata, BN yang sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan akan terus membawa suara rakyat untuk membela nasib mereka.

“Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kami akan terus bersama membawa suara rakyat dan memastikan lebih banyak keputusan Kerajaan berpaksikan kepada keperluan sebenar rakyat.

“Insya-Allah, kami akan terus memainkan peranan ini dengan penuh tanggungjawab agar setiap dasar, peruntukan dan keputusan yang dibuat benar-benar memberi manfaat dan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO