Hak Rakyat Perlu Adil, Jangan Ada Yang Diketepikan – Mohd Zaidy

JEMPOL, 19 Ogos – Hak dan kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan hanya kerana perbezaan politik, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat, tanggungjawabnya adalah memastikan masyarakat di kawasannya mendapat perhatian dan kemudahan yang sewajarnya daripada kerajaan, termasuk dalam soal peruntukan pembangunan.

Katanya, rakyat Jeram Padang tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut keadilan dan hak yang sama seperti rakyat di kawasan lain.

“Kerana itulah saya bangkitkan dalam Sidang DUN semalam bahawa peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri perlu sama kepada semua wakil rakyat. Ini bukan soal kepentingan saya. Saya perjuangkan hak rakyat Jeram Padang,” katanya.

Mohd Zaidy berkata demikian mengulas persoalan berhubung isu peruntukan RM180,000 yang didakwa diberikan kepada ADUN tertentu di Negeri Sembilan bagi tempoh Julai hingga September.

Menurutnya, jika benar terdapat peruntukan yang disalurkan kepada kawasan tertentu, kerajaan perlu menjelaskan secara terbuka kriteria dan mekanisme pengagihan supaya semua pihak memahami asas keputusan berkenaan.

“Kalau ada peruntukan untuk rakyat, saya mahu rakyat Jeram Padang juga mendapat hak mereka.

“Jangan sampai rakyat merasakan mereka dianaktirikan hanya kerana wakil rakyat mereka bukan daripada parti tertentu,” katanya.

Beliau berkata, prinsip Kerajaan Perpaduan sepatutnya bukan sekadar slogan politik, sebaliknya diterjemahkan melalui dasar dan tindakan yang memberikan manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Keputusan untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sudah dibuat sbelum agihan tersebut dilaksana namun kemudian agihan hanya kepada parti tertentu sahaja. Jadi peruntukan yang adil mesti dirasai oleh rakyat.

“Kalau kita bercakap tentang perpaduan, maka dalam soal pembangunan dan peruntukan juga mesti ada keadilan,” katanya.

Mohd Zaidy menegaskan, beliau tidak pernah mempertikaikan sekiranya sesebuah kawasan menerima peruntukan untuk kepentingan rakyat.

Apa yang menjadi persoalannya, katanya, ialah sekiranya wujud ketidakseimbangan dalam pengagihan sehingga rakyat di kawasan lain terpaksa menunggu atau dinafikan peluang mendapatkan kemudahan yang sama.

“Saya tidak kata kawasan lain tidak boleh dapat. Mereka pun ada rakyat.

“Tetapi rakyat Jeram Padang pun ada hak. Kalau ada peruntukan, berikan berdasarkan keperluan rakyat dan bukan berdasarkan parti,” katanya.

Katanya, setiap peruntukan yang menggunakan wang kerajaan perlu memberi manfaat terus kepada rakyat dan tidak seharusnya menjadi bahan perebutan politik.

“Wang ini wang rakyat. Sebab itu saya mahu ketelusan. Kalau peruntukan itu memang untuk rakyat, salurkan kepada rakyat. Kalau rakyat Jeram Padang atau kawasan lain memerlukan, jangan dinafikan hak mereka,” tegasnya.

Mohd Zaidy turut menyeru kerajaan supaya memastikan mekanisme pengagihan peruntukan kepada semua kawasan dibuat secara telus, adil dan berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

“Rakyat tidak mahu melihat wakil rakyat bergaduh soal siapa dapat lebih atau siapa dapat kurang. Rakyat cuma keselesaan, kesejahteraan, ada pembangunan, ada kemudahan awam ditambah baik dan masalah mereka diselesaikan. Itulah yang saya perjuangkan,” katanya.

Beliau menegaskan akan terus membawa suara masyarakat dan tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat perkara yang dilihat boleh menjejaskan kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya tidak minta untuk diri saya. Saya minta untuk rakyat. Rakyat Jeram Padang tidak mahu lebih daripada orang lain. Mereka cuma mahu hak yang sama dan layanan yang adil,” katanya.

Semalam, Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan panas apabila isu peruntukan RM180,000 kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang diluluskan sehari sebelum pembubaran DUN dibangkitkan malah disifatkan peruntukan terbabit seolah-olah dana pilihan raya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO