Pahang Nokhtahkan Miskin Tegar, Pangkas Kemiskinan 30 Peratus
KUANTAN, 19 Ogos – Kerajaan Pahang berjaya menoktahkan status Miskin Tegar di negeri itu pada 19 Februari lalu selepas kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam lock figure pada 15 Januari 2026 berjaya dikeluarkan daripada kategori berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan menyeluruh, bersasar dan berterusan yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan serta pelbagai agensi berkaitan.
“Alhamdulillah, hasil kerjasama pelbagai pihak, statistik Miskin Tegar Negeri Pahang berjaya dinoktahkan apabila kesemua 2,913 KIR yang direkodkan berjaya dikeluarkan daripada status Miskin Tegar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih membanggakan, katanya, Pahang turut mencatat kejayaan memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus, apabila 4,263 daripada 14,210 KIR yang berstatus Miskin pada 5 Jun 2026 berjaya dikeluarkan daripada kelompok tersebut.
Menurut Wan Rosdy, kategori Miskin Tegar merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 di luar bandar.
Manakala kategori Miskin pula membabitkan pendapatan per kapita kurang daripada RM790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar, berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi.
Beliau berkata, data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut keadaan sosioekonomi sesebuah isi rumah.
“Perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan, pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah, termasuk anak-anak KIR yang berpindah keluar kerana berkahwin atau mendapatkan pekerjaan, boleh mempengaruhi status sesebuah keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Rosdy menegaskan pencapaian menoktahkan Miskin Tegar tidak bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai, sebaliknya memerlukan pemantauan serta intervensi berterusan.
Beliau berkata antara faktor utama kejayaan itu ialah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif dan intervensi bersasar oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan, selain perubahan pendapatan dan saiz isi rumah.
“Kita bukan sekadar mahu mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan, tetapi lebih penting memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan yang lebih kukuh dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.
Kerajaan Negeri, katanya, akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan keluarga yang masih berada dalam kategori Miskin dan Miskin Tegar dalam senarai eKasih terus menerima bantuan mengikut keperluan.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pendekatan Memangkas Kemiskinan ini demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Pahang,” katanya lagi. – UMNO Online
