Perumahan Kasih Johor Terus Bela Kebajikan Rakyat
JOHOR BAHRU, 19 Ogos – Seramai 6,000 rakyat menerima manfaat menerusi Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5 dengan peruntukan sebanyak RM22.2 juta, membabitkan Bantuan Beli Rumah, Bantuan Masuk Rumah dan Bantuan Sewa Rumah.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, agenda perumahan terus diberi perhatian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor terbela.
“Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri Majlis Penyerahan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5 yang memberi manfaat kepada seramai 6,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM22.2 juta,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan pelaksanaan Skim Bantuan Deposit Sewa Rumah yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan.
Menerusi skim itu, setiap penerima akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 bagi deposit sewaan rumah, dengan inisiatif berkenaan bakal memanfaatkan 10,000 penerima menerusi peruntukan keseluruhan RM35 juta.
Onn Hafiz berkata, agenda berkenaan selaras dengan penekanan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan kepentingan agenda perumahan demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terbela.
“Sepanjang lima fasa pelaksanaan inisiatif Perumahan Kasih Johor, sebanyak RM59.859 juta telah diperuntukkan dan memberi manfaat kepada 15,126 penerima,” katanya.
Daripada jumlah tersebut, seramai 9,569 penerima menerima Bantuan Beli Rumah, 3,524 penerima menerima Bantuan Masuk Rumah dan 2,033 penerima menerima Bantuan Sewa Rumah.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), pihak berkuasa tempatan, para pemaju serta seluruh agensi yang bersama-sama menjayakan agenda tersebut.
“Semoga agenda perumahan Johor terus diperkasa agar lebih ramai Bangsa Johor mempunyai tempat berteduh yang selesa dan terjamin.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memperluas akses kepada perumahan yang mampu dimiliki demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
