Rindu Zaman BN… Gelombang Biru R10 Labuan Terus Mara
LABUAN, 19 Ogos – Gelombang Biru di Labuan semakin memperlihatkan momentumnya apabila Sekretariat Rumah 10 (R10) UMNO Labuan terus memperhebat gerak kerja akar umbi, termasuk melaksanakan kajian sikap pengundi di setiap cawangan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan bahagian, cawangan serta jentera R10 yang kekal komited dan bekerja keras memastikan kesiapsiagaan parti berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata, pergerakan jentera R10 bukan sekadar memperkukuh organisasi di peringkat akar umbi, malah menjadi medan penting untuk mendengar suara rakyat dan memahami denyut nadi pengundi secara lebih dekat.

“Kajian dan data adalah kunci utama untuk kita mengukur kekuatan sebelum melangkah mencipta kemenangan yang gemilang. Kita mahu setiap gerak kerja berasaskan fakta, suara rakyat dan kekuatan akar umbi.”
Menurut beliau, Sekretariat R10 baru-baru ini terus turun padang ke beberapa cawangan termasuk Sungai Lada, Sungai Bangat, Batu Arang, Ramsey, Rancha-Rancha Laut, Killan dan Gersik Saguking.
Pergerakan tersebut turut menyaksikan penglibatan aktif jentera Wanita UMNO Labuan dalam mengemaskini kajian sikap pengundi di setiap cawangan.
Mohd Rafi berkata, sambutan dan respons rakyat yang diterima sepanjang gerak kerja berkenaan amat menggalakkan, sekali gus memberikan keyakinan bahawa semangat untuk melihat perubahan dan pembangunan Labuan yang lebih baik semakin dirasai.
“Saya amat bersyukur melihat respons rakyat yang sangat menggalakkan. Rakyat rindukan zaman Biru dan tidak sabar untuk menghadapi PRU16 demi perubahan serta pembangunan Labuan yang lebih baik.”
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Bashir Alias; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Khalid Abd Ghani; serta seluruh Ketua UMNO Cawangan yang turun padang memberikan sokongan kepada gerakan R10.
Penghargaan khusus turut diberikan kepada Ketua Wanita UMNO Labuan merangkap Pengerusi Sekretariat R10 UMNO Labuan, Datuk Niswati Tarji, atas kepimpinan, dedikasi dan komitmen tinggi dalam menggerakkan jentera Wanita UMNO di peringkat akar umbi.

Mohd Rafi berkata, kekuatan Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti amat penting dalam memastikan gerakan akar umbi terus kukuh, tersusun dan dekat dengan masyarakat.
“Setiap titik peluh, masa dan pengorbanan jentera disaksikan Allah, dihargai kepimpinan dan akan terus dikenang rakyat. Jangan pernah jemu untuk berjuang.”
Beliau juga menyeru seluruh kepimpinan dan jentera UMNO Labuan agar terus bersatu hati, memperkukuh gerak kerja serta bergerak seiring dalam satu barisan yang kukuh.
Katanya, kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesatuan jentera dan keupayaan parti untuk terus berada bersama rakyat, memahami keperluan mereka serta membawa suara tersebut ke peringkat yang sewajarnya.
“Gelombang Biru telah bermula. Kita teruskan perjuangan, bersatu hati dan berpegang teguh pada kebenaran. Insya-Allah, dengan kesatuan dan kerja keras seluruh jentera, kejayaan milik kita,” katanya lagi. – UMNO Online
